PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan kepada Yayasan Restu bagi menjayakan misi besar menterjemahkan al-Quran ke 30 lagi bahasa dunia, termasuk bahasa Rusia yang baru dilancarkan.
Langkah ini bakal menjadikan jumlah keseluruhan terjemahan al-Quran kepada 60 bahasa dalam tempoh tiga tahun, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai salah satu pengeluar utama al-Quran di peringkat antarabangsa, sebaris dengan Arab Saudi dan Mesir.
“Inisiatif ini menyebarkan mesej sejagat al-Quran ke seluruh dunia dan memperkukuh imej Malaysia sebagai pusat percetakan dan penyebaran al-Quran bertaraf global,” kata Anwar dalam Majlis Peluncuran Terjemahan Bahasa ke-30 (Rusia) dan pelepasan kontena penghantaran al-Quran ke luar negara, hari ini.
Anwar turut berkongsi bahawa dalam setiap kunjungannya ke negara luar seperti Peru, Brazil, Kemboja, Laos, China dan Rusia, beliau sentiasa membawa serta menghadiahkan al-Quran terjemahan kepada kerajaan atau institusi Islam tempatan.
Katanya, usaha memperluaskan terjemahan ini seiring dengan pendekatan kerajaan Madani, iaitu penyebaran dakwah secara berhikmah dan berlandaskan ilmu bagi menangani Islamofobia serta salah faham terhadap Islam di peringkat antarabangsa.
“Ini bukan sekadar penerbitan kitab, tetapi usaha memperkenalkan Islam secara damai, inklusif dan berhemah kepada dunia,” jelasnya.
Dalam majlis sama, Anwar turut mengumumkan pelancaran Mushaf Madani yang dijangka diperkenalkan pada Ramadan akan datang.
Mushaf ini diilhamkan daripada pengalaman beliau di Masjid Istiqlal, Jakarta, yang memaparkan manuskrip al-Quran dengan motif seni tempatan dari pelbagai wilayah seperti Minang, Palembang, dan Sunda.
“Pendekatan ini mencerminkan bahawa mesej al-Quran bersifat universal dan boleh disesuaikan dengan nilai budaya yang tidak bertentangan dengan semangat Islam,” katanya.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan projek terjemahan ini, khususnya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang terus mempertahankan projek itu meskipun ketika beliau tiada dalam kerajaan.
“Dengan sokongan kerajaan Madani, saya yakin misi murni ini akan memberi manfaat bukan sahaja kepada umat Islam, malah kepada seluruh manusia sejagat,” tambahnya.