Malaysia Sasar muktamad 40 MOU Pada Expo Dubai 2020

Malaysia yakin Ekspo 2020 Dubai adalah katalis untuk merangsang semula ekonomi dunia yang terjejas akibat wabak dan menjangka negara meraih manfaat daripada ekspo itu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata Malaysia memanfaatkan penyertaannya dalam ekspo mega itu dengan menyusun segala maklumat terperinci termasuk program perdagangan dan perniagaan selama 26 minggu yang disertai hampir 300 syarikat tempatan daripada pelbagai industri.

Beliau berkata, melalui ekspo antarabangsa itu, pihaknya menjangka 40 memorandum persefahaman (MoU) akan ditandatangani syarikat Malaysia dengan rakan sejawat global termasuk dalam bidang inovasi dan teknologi, halal, pendidikan, pelancongan, kewangan serta perbankan Islam.

“Penyertaan Malaysia di Ekspo 2020 Dubai memberi tumpuan kepada perdagangan dan pelaburan sebagai hala tuju utama, dengan sasaran potensi perdagangan serta pelaburan sebanyak RM8 bilion hingga RM10 bilion.

“Ekspo 2020 Dubai kekal komited kepada sasaran kunjungan sebanyak 25 juta orang walaupun wujud cabaran COVID-19. Malaysia juga yakin acara perdagangan global ini akan memanfaatkan peserta (syarikat) dan menjadi platform merancakkan semula ekonomi,” katanya.

Ekspo bertemakan ‘Connecting Minds, Creating the Future’ akan diadakan mulai 1 Oktober 2021 hingga 31 Mac 2022 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan penyertaan lebih 190 negara dan organisasi.

Penyertaan Malaysia di Ekspo 2020 Dubai diterajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC) sebagai agensi pelaksana.

Komen

Berkaitan

Media Sosial

19,954FansLike
3,871FollowersFollow
21,200SubscribersSubscribe

Terkini