Malaysia Sama Seperti Sri Lanka, Zimbabwe Jika Terus Undi BN

KUALA LUMPUR: Menyifatkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai penting kepada rakyat negara ini, Lim Kit Siang menggesa para pengundi untuk tidak lagi terpengaruh dengan janji Barisan Nasional (BN).

Malah veterap DAP itu mendakwa sekiranya rakyat masih tidak sedar, maka tidak mustahil untuk Malaysia menerima nasib yang sama Sri Lanka dan Zimbabwe.

“Perkara ini adalah kerana PRU ini merupakan peluang terakhir untuk menyelamatkan dan menjadikan Malaysia sebuah negara majmuk hebat bertaraf dunia menjelang ulang tahun ke-100 negara kita

“Dan bukannya membiarkan Malaysia menjadi hanya satu lagi negara yang biasa sahaja, atau lebih buruk lagi, sebuah negara gagal seperti Sri Lanka dan Zimbabwe,” kata Kit Siang.

Kit Siang berkata, DAP terus berusaha membangunkan ‘Impian Malaysia’ iaitu semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama boleh mendapat kehidupan yang lebih baik dari segi politik, ekonomi, sosial atau alam sekitar di Malaysia.

Beliau yang sepanjang karier politik menjadi pembangkang berkata, impian Malaysia masih belum dapat dipenuhi dalam enam dekad selepas negara merdeka.

“Saya minta semua rakyat Malaysia untuk bertanya diri mereka dua soalan apabila mereka membuang undi pada 19 November 2022; pertama, sama ada Malaysia masih boleh diselamatkan; dan kedua, sama ada Malaysia patut diselamatkan.

“Malaysia masih “boleh diselamatkan” dan patut diselamatkan. Sekiranya Malaysia tidak dapat diselamatkan dan tidak berbaloi untuk diselamatkan, maka itulah penghujung ceritanya.

“Namun, Malaysia masih belum mencapai tahap negara berpecah belah dan gagal walaupun kita telah ketinggalan agak terkebelakang dari jangkaan kita untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia,” katanya.

Menurut Kit Siang, Malaysia adalah titik pertemuan empat tamadun hebat dunia Melayu/Islam, Cina, India, dan Barat.

Namun beliau mempersoalkan, bolehkah Malaysia menggunakan nilai-nilai terbaik dari empat tamadun hebat tersebut untuk menjadikan negara “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu” seperti yang dikatakan oleh Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman.

“Sekiranya kita boleh berbuat demikian, Malaysia masih berpeluang untuk menjadi sebuah negara majmuk hebat bertaraf dunia dan kita boleh menyelamatkan Malaysia dari menjadi sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, dan negara gagal dalam tiga ke empat dekad yang akan datang.

“Inilah cabaran kita dalam Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November 2022 ini,” ujarnya lagi.

BBerkaitan

Latest articles