KUALA LUMPUR: Perjanjian Tarif Timbal Balas (ART) yang dimeterai antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) disifatkan sebagai jauh lebih menguntungkan berbanding rundingan awal, dengan tawaran akses pasaran yang lebih luas serta jaminan tarif yang lebih rendah.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, berkata perjanjian tersebut bukan sahaja mengekalkan komitmen asal, malah memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai rakan dagang utama AS di rantau ini.
“AS telah menawarkan akses pasaran yang lebih baik dan lebih terjamin. Melalui gabungan konsesi tarif dan komitmen komersial, kita berjaya menurunkan tarif daripada 25 peratus kepada 19 peratus,” katanya dalam sidang media semalam.
Menurut Tengku Zafrul, Malaysia turut memperoleh pengecualian bagi 1,711 talian tarif daripada pengenaan kadar 19 peratus itu melibatkan eksport utama seperti minyak sawit, produk getah, koko, alat ganti pesawat dan farmaseutikal.
Kesemua sektor itu secara kolektif menyumbang AS$5.2 bilion atau kira-kira 12 peratus daripada jumlah eksport Malaysia ke AS.
“Perjanjian ini secara rasmi mengesahkan apa yang telah dipersetujui sebelum ini dan telah saya bentangkan di Parlimen serta media. Tiada perubahan kepada komitmen asal kita,” tambahnya.
Perjanjian dagangan timbal balik berskala luas itu ditandatangani oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden AS Donald Trump di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Ia bertujuan mengukuhkan hubungan ekonomi dua hala, memperluas akses pasaran serta memperkukuh rantaian bekalan serantau.
Tengku Zafrul menjelaskan bahawa tarif rendah di bawah perjanjian ini akan memudahkan produk AS memasuki pasaran Malaysia dengan harga lebih kompetitif sekali gus menjadikan barangan teknologi tinggi dan peralatan perubatan lebih mampu milik.
“Import seperti jentera, komponen aeroangkasa dan alat automasi dari AS boleh dimanfaatkan pengilang tempatan untuk meningkatkan kecekapan dan menyokong sasaran Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030),” ujarnya.
Beliau menambah, persekitaran perdagangan yang lebih terbuka dan stabil bakal menarik minat lebih banyak syarikat AS untuk memperluas operasi mereka di Malaysia, sekaligus memperkukuh kedudukan negara sebagai hab pelaburan strategik di Asia Tenggara.










