Malaysia Pertingkat Perlindungan Kaum Wanita, Kanak-Kanak Perempuan

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata kejadian keganasan yang dialami oleh kaum wanita hari ini tidak boleh dipandang ringan.

Beliau menyifatkan apa yang berlaku menunjukkan ia sebagai isu kesihatan, pelanggaran hak asasi wanita, integriti tubuh badan serta hak seksual dan reproduktif.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama melalui rakaman video pada Forum Wanita dan Kanak-Kanak Perempuan Malaysia Tahunan Kedua, anjuran Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Malaysia, hari ini.

Ujar Khairy, wanita yang menjadi mangsa dera berkemungkinan untuk terbabit dalam tingkah laku berisiko tinggi seperti merokok dan penggunaan bahan terlarang berbanding wanita yang tidak didera.

“Tambahan pula, tekanan kronik yang disebabkan oleh keganasan dikaitkan dengan kadar penyakit kronik yang lebih tinggi (seperti penyakit jantung dan diabetes), gangguan kesihatan mental dan jangkitan untuk wanita yang didera,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyatakan komitmen negara ini untuk melakukan lebih banyak lagi untuk mewujudkan dasar yang memastikan perlindungan dan tumpuan terhadap kesejahteraan wanita serta kanak-kanak perempuan dalam semua aspek.

“Hak untuk autonomi tubuh adalah janji yang diperakui secara sah oleh undang-undang negara kita untuk setiap rakyat Malaysia.

“Namun, saya tidak menafikan terdapat jurang sosial dan undang-undang penting yang perlu dirapatkan apabila membabitkan wanita dan kanak-kanak perempuan,” katanya.

Khairy berkata, sebagai negara berdaulat, Malaysia mempunyai komitmen ke arah menegakkan hak asasi manusia untuk semua rakyat Malaysia, termasuk hak kesaksamaan, maruah, autonomi, maklumat dan integriti tubuh badan serta menghormati kehidupan peribadi dan standard kesihatan yang tertinggi, termasuk kesihatan seksual dan reproduktif.

Malaysia juga, katanya, antara negara yang menandatangani Persidangan Antarabangsa Mengenai Pembangunan Penduduk (ICPD) dan Program Tindakannya, pada 1994, yang memastikan hak dan pilihan reproduktif untuk wanita dan kanak-kanak perempuan.

“Ia diikuti Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) pada 1995, serta mengesahkan komitmen negara terhadap ICPD semasa Persidangan Nairobi pada 2019.

“Ini bukan aspirasi, ia adalah komitmen. Komitmen yang berakar daripada pemahaman iaitu sama seperti kebanyakan negara di dunia, kita mesti buat yang terbaik untuk memastikan dapat memenuhi potensi mutlak, hak dan pilihan individu tanpa mengira umur, jantina atau kepercayaan mereka.

“Kita menetapkan sasaran untuk mencapai matlamat ini menjelang 2030, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG),” katanya.

Kerajaan juga komited mencari usaha berterusan untuk menghentikan keganasan rumah tangga terhadap wanita, termasuk dengan menubuhkan Pusat Krisis Sehenti, yang menyediakan akses kepada mangsa keganasan bagi perlindungan, penjagaan kesihatan dan keadilan.

BBerkaitan

Latest articles