KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneliti terlebih dahulu tindakan kerajaan Indonesia mengharamkan transaksi e-dagang di platform media sosial TikTok sebelum merangka langkah yang bersesuaian, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
Fahmi berkata beliau pernah menerima aduan orang awam yang risau jika langkah sama diikuti kerajaan, namun pada masa yang sama beberapa gedung besar turut membangkitkan isu berkaitan persaingan harga terhadap produk-produk yang dijual menerusi platform itu.
“Ramai dalam kalangan rakyat menggunakan platform TikTok Shop untuk menjual barang, jadi saya akan minta pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan kementerian untuk meneliti asas langkah yang dilakukan oleh kerajaan Indonesia untuk mengekang TikTok Shop.
“Saya rasa pihak TikTok perlu tampil memberikan penjelasan kerana salah satu aduan atau pun asas kenapa TikTok Shop dilarang di Indonesia ialah kerana isu penentuan harga ‘predatory’ yang berlaku terhadap produk-produk, yang akhirnya memangsakan pengusaha tempatan di Indonesia,” katanya, ketika ditemui pemberita pada program gotong-royong di Pantai Dalam.
Selain itu, Fahmi berkata pihak TikTok juga harus memberi penjelasan terhadap kebimbangan ramai berhubung isu perlindungan data peribadi apabila berbelanja di platform tersebut.
“Saya rasa semua media sosial akan meneliti perilaku pengguna, bermula daripada apa yang kita ‘like’, apa yang kita kongsi, apa yang beli dan apa kita tonton.
“Jadi ada beberapa isu di situ yang saya lihat wajar untuk pihak kementerian dan MCMC teliti, terutama aspek-aspek kepenggunaan atau perlindungan data peribadi. Oleh itu, dalam masa terdekat saya akan panggil pihak TikTok untuk berbincang,” katanya.
Fahmi berkata perbincangan itu penting kerana pihaknya juga menerima aduan daripada organisasi media berhubung penggunaan media sosial yang menjejaskan operasi mereka.
“Banyak syarikat berbelanja untuk iklan bukan lagi melalui media tetapi menggunakan platform media sosial ini, maka ia memberi kesan kepada media dan saya sangat prihatin isu ini.
“Lagi pun, saya lihat sejak mereka (TikTok) tiada lagi beberapa wakil di Malaysia, kerjasama mereka dengan pihak kerajaan sangat lembap dan saya sangat tidak berpuas hati.
“Contohnya dalam isu dakwaan vaksin bagi virus X telah tular sehingga mencecah 1.5 juta ‘view’ baru-baru ini, saya terpaksa panggil (telefon) orang TikTok sendiri untuk tanya kerana Kementerian Kesihatan sudah keluarkan penafian, tapi pihak TikTok langsung tidak mengambil apa-apa tindakan,” katanya.
Isnin lepas, Menteri Perdagangan Indonesia Zulkifli Hasan mengumumkan Indonesia mengharamkan transaksi e-dagang dalam platform media sosial TikTok yang memberi pendapatan tinggi peniaga dalam talian.
Langkah tersebut yang berkuat kuasa serta-merta dilaporkan bertujuan melindungi peniaga di luar talian dan pasaran kerana harga ditawarkan terlalu murah hingga menjejaskan perniagaan kecil dan sederhana di luar premis.
Selain itu, ia untuk menghalang penggunaan data peribadi dalam kepentingan perniagaan, sekali gus ekosistem perdagangan elektronik yang adil, sihat lagi bermanfaat. – BERNAMA