Malaysia Pertimbang Cara New Zealand Perkasakan Hak Orang Asli, Pindaan Akta 1954 Dijangka Dibentang Mac Depan

WELLINGTON: Beberapa pendekatan yang dilaksanakan New Zealand bagi menjaga hak komuniti Maori bakal menjadi rujukan Malaysia dalam meminda Akta Orang Asli 1954 (Akta 134), kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut beliau, pendekatan tersebut termasuklah hak pemilikan tanah, akses lebih luas dalam pendidikan, serta penubuhan agensi pembiayaan khusus untuk memperkukuh keusahawanan dalam kalangan komuniti pribumi.

“Apa yang dilakukan New Zealand terhadap komuniti Maori boleh dijadikan aspirasi dan disesuaikan mengikut konteks Malaysia.

“Akta 134 ini sudah berusia 71 tahun dan banyak aspek perlu diperhalusi semula. Kita bukan hanya mahu lihat soal pemilikan tanah, tetapi juga hak Orang Asli dalam pendidikan, keusahawanan dan pembiayaan,” katanya pada sidang media di Rumah Malaysia, hari ini.

Jelas Ahmad Zahid, meskipun Malaysia tidak boleh meniru sepenuhnya acuan New Zealand, beberapa elemen boleh diadaptasi berdasarkan keperluan dan realiti masyarakat Orang Asli di negara ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, draf pindaan akta kini berada di peringkat awal, dengan proses libat urus sedang dijalankan melibatkan pelbagai pihak termasuk tokoh akademik dan profesional Orang Asli sendiri.

Beliau menjangkakan draf pindaan itu akan dapat dibentangkan pada sesi Parlimen Mac tahun hadapan.

“Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) juga sedang merangka semula ekosistem pembangunan Orang Asli termasuk keperluan asas seperti infrastruktur dan pendidikan.

“Pindaan ini bukan untuk menafikan hak, tetapi untuk memperkukuh perlindungan terhadap masyarakat Orang Asli. Selepas dibentang di Parlimen, ia akan melalui proses perbahasan, pengundian dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong sebelum digazetkan,” katanya.

Ahmad Zahid turut menekankan kerjasama kerajaan negeri amat diperlukan memandangkan isu pemilikan tanah terletak di bawah bidang kuasa negeri.

“Walaupun Orang Asli merupakan komuniti minoriti dengan populasi lebih 225,000 orang di Semenanjung Malaysia, kerajaan tidak akan meminggirkan hak mereka,” katanya.

Tambah beliau, sesi libat urus bersama kepimpinan negeri dan wakil daripada 377 perkampungan Orang Asli sedang dijalankan bagi memastikan suara komuniti itu didengar dalam proses pindaan ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid mengadakan pertemuan dengan Menteri Pembangunan Maori New Zealand, Tama Potaka di Parlimen New Zealand untuk berkongsi pandangan mengenai dasar pembangunan komuniti pribumi.

Beliau turut mengadakan mesyuarat dua hala bersama rakan sejawatannya, David Seymour di Bangunan Beehive serta sesi libat urus dengan Presiden Persekutuan Persatuan Islam New Zealand (FIANZ), Ibrar Sheikh di Rumah Malaysia.

“Pertemuan ini membuka potensi kerjasama antara Malaysia dan New Zealand dalam memperkasa komuniti pribumi, termasuk Orang Asli di negara kita,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles