Barcelona, Malaysia menegaskan komitmennya sebagai peneraju inovasi teknologi digital di peringkat global dengan pelancaran Pavilion Malaysia di Mobile World Congress (MWC) 2025 di Barcelona, Sepanyol.
Majlis pembukaan yang dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, menampilkan pencapaian serta aspirasi negara dalam membangunkan ekosistem digital yang mampan dan inklusif.
Dalam ucapannya, Mohamad Fauzi menegaskan bahawa Pavilion Malaysia menjadi simbol kemajuan teknologi negara serta pintu masuk kepada inovasi ASEAN.
“Tahun ini mencerminkan cita-cita dan komitmen kita untuk memacu transformasi teknologi yang pesat, menjadikan Malaysia sebagai jambatan yang menghubungkan inovasi global,” katanya.
Menurutnya, antara pencapaian utama yang diketengahkan adalah kejayaan inisiatif JENDELA, yang sehingga 31 Disember 2024 telah menyediakan akses internet berkelajuan tinggi kepada lebih 9.03 juta premis – melebihi sasaran awal 9 juta menjelang 2025.
Selain itu, Malaysia mencatat liputan internet di kawasan berpenduduk sebanyak 98.66% pada suku keempat 2024, dengan kelajuan jalur lebar mudah alih mencapai 105.36 Mbps secara purata.
Tambah Mohamad Fauzi, liputan 5G kini mencapai 82.4% di kawasan berpenduduk, dengan kadar penembusan 5G mudah alih sebanyak 56.18%.
“Kami bertekad untuk memastikan semua rakyat Malaysia mendapat akses yang sama kepada teknologi, bukan sekadar untuk berhubung, tetapi juga untuk memperkasakan masyarakat,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya lagi, Malaysia turut mempamerkan kejayaan dalam bidang AI, 5G, dan teknologi satelit sebagai pemacu kepada industri dan gaya hidup digital yang lebih maju.
Dalam sektor kesihatan, teknologi 5G membolehkan pembedahan jarak jauh dilakukan dengan latensi hampir sifar, manakala pemantauan kesihatan dalam masa nyata membantu doktor memberi rawatan yang lebih proaktif.
Dalam bidang pendidikan, pembelajaran AR/VR berasaskan AI mengubah cara pelajar berinteraksi dengan kandungan, manakala pertanian pintar berasaskan 5G meningkatkan produktiviti dengan pengurusan robotik dan operasi jarak jauh.
Sementara itu, penyiaran sukan di Malaysia turut mengalami revolusi digital dengan kejayaan siaran langsung Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 menggunakan teknologi 5G-Advanced, yang membolehkan penstriman berkualiti tinggi tanpa kelewatan ketara.
Dalam usaha merapatkan jurang digital, Malaysia turut menekankan peranan teknologi satelit dalam menyediakan internet ke kawasan luar bandar, sekali gus memastikan akses ekonomi digital yang lebih inklusif.
Kerjasama Strategik & Masa Depan Digital
Dalam merealisasikan agenda digital negara pula, Jelas Mohamad Fauzi, Malaysia memperkukuh kerjasama dengan pemain industri tempatan dan antarabangsa melalui model 6-Way Multi-Operator Core Network (MOCN), yang menggalakkan perkongsian sumber antara penyedia rangkaian mudah alih (MNO) dan kerajaan negeri.
Selain itu, MCMC Nexus diperkenalkan sebagai alat analisis data bagi meningkatkan perancangan bandar pintar dan pembangunan infrastruktur telekomunikasi.
Tambah Mohamad Fauzi, beliau turut menyeru semua pihak untuk bersama-sama membentuk masa depan yang lebih terhubung, inovatif, dan lestari.
“Malaysia bukan sekadar peserta dalam landskap digital global, tetapi peneraju dalam membentuk inovasi yang memberi impak besar kepada masyarakat. Mari kita terus memacu revolusi teknologi ini ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Dengan pembukaan Pavilion Malaysia di MWC 2025, negara terus menunjukkan daya saingnya dalam menerajui teknologi digital serantau dan global.