Malaysia Pantau Gencatan Senjata Thailand-Kemboja, Anwar Gesa Henti Serangan

KUALA LUMPUR: Malaysia terus menjalankan koordinasi dan pemantauan rapi terhadap situasi gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja, sambil menggesa kedua-dua pihak menghentikan pertempuran yang disifatkan semakin kritikal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar yang dijadualkan pada Selasa terpaksa ditangguhkan susulan permintaan penangguhan kecil daripada pihak terlibat bagi memastikan semua persiapan dapat diselaraskan dengan lebih teratur.

“Kami masih menyelaras dan memantau. Mereka meminta sedikit penangguhan jadual mesyuarat Menteri Luar, jadi kita setuju menangguhkan bagi memastikan semuanya berjalan teratur. Namun, kami tetap merayu agar pertempuran dihentikan kerana keadaan ini amat kritikal,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis peluncuran buku The Man Who Could Move Mountains: Reflections On The Social Activism of S.M Mohamed Idris anjuran International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar memaklumkan beliau hampir setiap hari berhubung secara maya dengan pihak berkaitan bagi memastikan usaha meredakan ketegangan dapat diteruskan.

Ditanya mengenai sekatan di Teluk Thailand, beliau menegaskan rundingan masih berjalan.

“Kami masih berunding untuk menyejukkan keadaan,” katanya ringkas.

Kelmarin, Anwar mendedahkan beliau turut mengadakan perbincangan dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berhubung konflik Thailand–Kemboja.

Menurutnya, perkara itu dibincangkan ketika menerima panggilan telefon daripada Trump yang turut menyentuh hubungan dua hala serta isu global berkepentingan bersama.

Sebagai Pengerusi ASEAN, Anwar mengesahkan Malaysia akan memanggil Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN dalam masa terdekat bagi menilai perkembangan semasa dan menyokong langkah meredakan ketegangan di rantau ini.

Konflik sempadan Thailand–Kemboja yang berlarutan sejak lebih seabad kembali memuncak pada Julai lalu, mencetuskan pertempuran selama lima hari.

Kedua-dua negara kemudian bersetuju melaksanakan gencatan senjata di Kuala Lumpur pada 24 Julai sebelum menandatangani Perjanjian Damai Kuala Lumpur pada 26 Oktober semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, dengan disaksikan Anwar selaku Pengerusi ASEAN dan Trump.

Bagaimanapun, pertempuran kembali tercetus baru-baru ini, mengakibatkan beberapa kematian dan memaksa ribuan penduduk meninggalkan kediaman.

Difahamkan, lebih 500,000 orang telah berpindah ke kawasan selamat di kedua-dua negara sejak konflik kembali memuncak, dengan kedua-dua pihak saling menyalahkan antara satu sama lain atas kejadian terbaharu yang merebak ke lima wilayah.

Dalam perkembangan berkaitan, Kemboja dilaporkan menarik diri sepenuhnya daripada Sukan SEA 2025 susulan ketegangan berterusan dengan Thailand selaku tuan rumah.

BBerkaitan

Latest articles