KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan negara akan memasuki Fasa Peralihan Endemik bermula 1 April ini.
Menurut beliau, ia adalah fasa peralihan untuk negara kembali kepada kehidupan normal selepas rakyat bergelut dengan pandemik COVID-19 sejak dua tahun lalu.
“Fasa ini adalah fasa sementara sebelum negara ke fasa endemik (sepenuhnya) yang mana ia tertakluk kepada pengumuman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya pada sidang media di Parlimen petang ini.
Ismail Sabri berkata, walaupun memasuki fasa endemik bermula 1 April ini, pemakaian pelitup muka masih diwajibkan di tempat awam.
Katanya, bagaimanapun, had operasi bagi premis perniagaan dimansuhkan, sebaliknya dibenarkan beroperasi mengikut syarat lesen masing-masing.
Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memaklumkan sempadan negara akan mula dibuka juga mulai 1 April depan.