Malaysia mahu muktamad kod tatalaku Laut China Selatan tahun depan

Malaysia berhasrat memuktamadkan Kod Tatalaku (COC) Laut China Selatan ketika menjadi pengerusi Asean tahun depan.

Menteri Pertahanan Khaled Nordin menyatakan perkara itu ketika menerima kunjungan hormat Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing di Kementerian Pertahanan hari ini.

“Saya turut menyatakan hasrat Malaysia agar COC Laut China Selatan, iaitu kod tatacara bagi mengelakkan konflik dan ketegangan (di perairan itu), dimuktamadkan semasa Malaysia mempengerusikan Asean tahun hadapan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Khaled selanjutnya berkata, Malaysia dan China mempunyai pelbagai kerjasama pertahanan, antaranya melalui perjanjian persefahaman yang dimeterai sejak 2005.

“Kerjasama ini akan terus diperkukuh, selari dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara dua negara.”

Dalam pada itu, beliau berkata, pertemuan dengan wakil China ini adalah sebahagian amalan dan pendekatan negara dalam konteks diplomasi pertahanan.

“Pertemuan itu membincangkan pelbagai perkara termasuk peluang untuk meningkatkan kerjasama meliputi bidang teknologi dan industri pertahanan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles