Malaysia-Korea Teroka Potensi Kerjasama

JAKARTA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Malaysia untuk bekerjasama dengan Republik Korea yang memberi manfaat kepada rakyat di kedua-dua negara berkenaan.

Perkara itu dinyatakan Anwar ketika bertemu dengan Presiden Korea, Yoon Suk Yeol di Sidang Kemuncak ASEAN ke-43.

“Ini merupakan pertemuan kali pertama sejak masing-masing memegang jawatan sebagai Presiden Republik Korea dan Perdana Menteri Malaysia pada bulan Mei dan November 2022.

“Semasa pertemuan tersebut, kami telah menyatakan komitmen dalam mengukuhkan lagi hubungan dua hala Malaysia-Republik Korea yang sedia ada serta meneroka peluang-peluang kerjasama baharu demi manfaat kepada kedua-dua negara.

“Antara hasil utama perbincangan termasuklah pertukaran lawatan di peringkat tinggi dan potensi pengecualian daripada Korea Electronic Travel Authorisation (K-ETA) dengan matlamat untuk mengukuhkan lagi hubungan semasa rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu Anwar turut menggariskan kepentingan mempromosikan literasi digital, teknologi inovatif, dan kesalinghubungan infrastruktur digital untuk memperkasa dan mengantarabangsakan perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (MSME), selari dengan Kerangka Ekonomi MADANI.

“Saya turut mengalu-alukan penubuhan ASEAN-ROK Cooperation Centre for Carbon Neutrality and Green Transition sebagai usaha kolektif ASEAN-ROK untuk menangani perubahan iklim.

“Hatta,cadangan penubuhan Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-ROK pada tahun 2024 sempena sambutan ulang tahun ke-35 hubungan dialog ASEAN-ROK juga disifatkan sangat baik serta wajar dilaksanakan,” ujarnya lagi.

BBerkaitan

Latest articles