Malaysia Komited Sokong Pembangunan Negara Membangun

KUALA LUMPUR: Malaysia menyatakan komitmennya untuk terus memainkan peranan dalam usaha menyokong negara membangun atau Dunia Selatan.

Perkara itu dinyatakan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sambil berkata, Malaysia juga telah mengukuhkan komitmen dengan Kerjasama Selatan-Selatan (ISTIC) melalui pembaharuan terma bersama Pusat Sains, Teknologi dan Inovasi Antarabangsa di Kuala Lumpur.

Kata beliau, pusat itu di bawah naungan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sejak 2008.

“Sehingga kini, ISTIC-KL telah menyumbang kepada Kerjasama Selatan-Selatan melalui lebih 30 Program Latihan STI dengan rakan kongsi strategik dan memanfaatkan lebih 1,000 peserta dari hampir 100 negara.

“Malaysia juga telah memupuk budaya Sains Terbuka iaitu menjadikan penyelidikan saintifik dan data dapat diakses oleh semua.

“Konsep Sains Terbuka secara praktikal ini akan mempercepatkan kadar penemuan, di samping menggalakkan inovasi dan menangani cabaran yang dihadapi oleh masyarakat,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menjelaskan konteks itu, Dr. Zambry berkata, Malaysia telah melancarkan Platform Sains Terbuka Malaysia (MOSP) pada Mei lalu.

Kata Dr. Zambry, Malaysia akan terus mengalu-alukan penyertaan negara membangun dalam Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) yang merupakan platform bagi perkongsian pengalaman dan kepakaran dalam pembangunan.

“Sejak penubuhannya pada 1980, MTCP telah memanfaatkan lebih daripada 37,000 peserta dari 144 negara penerima dan sehingga hari ini, MTCP kekal sebagai manifestasi kukuh komitmen Malaysia terhadap Kerjasama Selatan-Selatan.

“Saya telah menyampaikan kenyataan Malaysia pada Persidangan Kemuncak Ketua-Ketua Negara dan Kerajaan Kumpulan G77 dan China (G77+China) di Havana, Cuba.

“Dalam kenyataan itu, saya telah menyatakan sebagai salah satu ahli pengasas Kumpulan G77, Malaysia amat bangga dengan kemajuan dicapai G77+China dalam isu penting untuk negara membangun,” katanya.

Jelas beliau lagi, Malaysia bagaimanapun mengakui jurang antara negara membangun dan maju kian melebar terutama bagi komitmen Agenda 2030 dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Kini, katanya, terdapat keperluan untuk mengukuhkan lagi komitmen dan tanggungjawab kolektif antara Dunia Selatan dan Utara.

“Komitmen dan tanggungjawab untuk merapatkan jurang keutamaan dalam mempercepatkan Agenda 2030 amat diperlukan.

“Bahkan, Malaysia bersedia bekerjasama rapat dengan G77+China dan ahli-ahlinya dalam usaha bersama untuk pembangunan ekonomi, keamanan dan kemakmuran yang mampan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles