Malaysia Kekal Di Tangga Ke-36 Dalam Global Innovation Index

KUALA LUMPUR: Malaysia kekal menduduki tangga ke-36 daripada 132 negara bagi indeks inovasi dunia, berdasarkan laporan Indeks Inovasi Global (GII) Tahun 2023 yang dikeluarkan oleh World Intellectual Property Organization (WIPO) di Geneva, Switzerland.

Peningkatan prestasi Malaysia dalam GII ini turut didorong oleh pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan oleh Jawatankuasa Inter-Agensi Pemantauan Daya Saing GII di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melibatkan pelbagai kementerian dan agensi terlibat, menurut MOSTI.

Menurut laporan itu, Malaysia ialah negara kedua paling berinovatif selepas China dari kalangan 36 negara berpendapatan sederhana dengan kenaikan satu tangga berbanding tahun 2022.

Bagi negara ASEAN pula, Malaysia kekal berada di tempat kedua selepas Singapura.

Malaysia berjaya mengekalkan kedudukan pertama bagi dua sub-indikator iaitu eksport berteknologi tinggi dan eksport barangan kreatif serta melonjak ke kedudukan pertama bagi sub-indikator graduan dalam bidang sains dan kejuruteraan.

Selain itu, Malaysia merekodkan lima daripada tujuh tonggak berbanding tahun 2022 iaitu Institution (29 berbanding 34), Human capital and research (32 berbanding 38), Market Sophictication (18 berbanding 26), Business sophistication (36 berbanding 41) dan Knowledge and technology outputs (37 berbanding 39).

Pada masa sama, MOSTI akan melaksanakan beberapa insiatif bagi memastikan Malaysia berjaya memasuki 30 negara teratas dalam GII menjelang tahun 2025 seperti, membantu mendaftarkan harta intelek (IP) bagi mana-mana inovasi yang berpotensi untuk dikomersialkan termasuk yang dihasilkan oleh pelajar sekolah.

Inisiatif lain ialah penggubalan Pelan Tindakan Kesihatan Planet Negara dan penyediaan maklumat pasaran ekosistem startup tempatan untuk membantu Bursa Malaysia mengenal pasti startup yang berpotensi untuk disenaraikan di Bursa Malaysia.

Turut diberikan perhatian ialah mengusulkan cadangan untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Bakat Sains, Teknologi dan Inovasi yang turut dianggotai oleh wakil-wakil industri untuk menyokong inisiatif negara dalam pembangunan bakat sains, teknologi dan inovasi yang adaptif.

Menurut MOSTI, inisiatif ini adalah selaras dengan iltizam Kerangka Dasar Malaysia Madani untuk memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang berdaya cipta dan menjadi negara pengeluar teknologi menjelang tahun 2030.

“Prestasi Malaysia di dalam GII bukanlah sekadar satu alat pengukur, tetapi turut merupakan satu panduan yang memberi gambaran menyeluruh tentang keupayaan inovasi negara.

“Ia memberi tumpuan kepada faktor-faktor penting yang mendorong dan menyokong proses inovasi, termasuklah penyelidikan dan pembangunan, keusahawanan, infrastruktur teknologi dan pelbagai bidang tumpuan yang memerlukan intervensi,” menurut MOSTI.

BBerkaitan

Latest articles