Malaysia Kecam Kenyataan Fitnah Islam Presiden Perancis

 

Malaysia mengecam tindakan Presiden Perancis,Emmanuel Macron yang memfitnah agama Islam susulan kejadian pembunuhan seorang guru sekolah, awal bulan ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata Malaysia memandang serius dan mengambil berat permusuhan terbuka terhadap umat Islam, apatah lagi dengan ucapan provokatif Macron dan penerbitan karikatur yang menggambarkan Nabi Muhammad SAW.

“Malaysia menjunjung hak kebebasan bersuara serta hak asasi manusia selagi mana ia digunakan secara bertanggungjawab dan penuh hormat, sekali gus tidak menafikan serta melanggar hak pihak lain.

“ Dalam konteks ini, mencemarkan serta mengecam Nabi Muhammad yang dianggap paling mulia dalam Islam dan mengaitkan Islam dengan keganasan telah melangkaui batas hak tersebut.

“Tindakan tersebut bersifat provokatif dan tidak menghormati agama Islam serta lebih daripada dua bilion umat Islam di seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Masyarakat Islam sedunia melontarkan kemarahan terhadap kenyataan terbuka Macron berkenaan Islam dan penerbitan karikatur Nabi Muhammad SAW yang jelas menghina Islam.

Ia berikutan tindakan seorang guru sekolah, Samuel Paty yang mengajar di sebuah sekolah di pinggir bandar Paris yang bertindak menunjukkan karikatur Rasulullah SAW di dalam kelas semasa mengajar topik kebebasan Islam.

Guru itu dibunuh oleh seorang pemuda warganegara Chechnya pada awal bulan ini.

Dalam pada itu, Hishammuddin menegaskan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang mengamalkan demokrasi dan sederhana dengan kepelbagaian masyarakat yang berbilang kaum dan agama akan memperjuangkan dan mengekalkan hubungan damai serta harmoni bukan sahaja sesama rakyat tetapi juga dalam konteks masyarakat global yang majmuk.

“Malaysia akan terus bekerjasama dengan komuniti antarabangsa demi meningkatkan amalan saling menghormati antara setiap agama serta mencegah ekstremisme agama di semua peringkat,” katanya.

Komen

Berkaitan

Media Sosial

19,954FansLike
3,790FollowersFollow
20,800SubscribersSubscribe

Terkini