Malaysia Juga Terkesan Dengan RUU AS Sekat Negara Yang Sokong Hamas

KUALA LUMPUR: Malaysia tegas dengan perjuangan menegakkan keadilan buat rakyat Palestin, di sebalik keputusan Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) yang meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) menyekat pihak luar yang menyokong Hamas dan pergerakan Jihad Islam Palestin.

Bagaimanapun, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata ketetapan terbaru AS itu mampu mendatangkan kesan kepada Malaysia dan negara-negara lain.

Mengulas lanjut, Wisma Putra memaklumkan ia masih meneliti keseluruhan kandungan RUU itu sebelum mengambil sebarang tindakan.

“Malaysia akan bersama negara lain untuk melihat isu ini kerana semua negara dikatakan menyokong Hamas dan tidak seiring dengan AS,” katanya kepada pemberita pada Program Diplomasi Awam sempena Hari Wisma Putra, hari ini.

Dewan Perwakilan AS, pada Rabu meluluskan RUU yang akan membenarkan sekatan asing dikenakan terhadap penyokong Hamas dan pertubuhan Jihad Islam.

RUU bertajuk Akta Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas itu diluluskan oleh majoriti 363 berbanding 46 yang menentang.

Sementara itu, Malaysia terus berpegang dengan dasar diplomasi bagi membawa suara Malaysia di pentas dunia berhubung isu kemanusiaan di Palestin.

Tambah Zambry, meskipun Malaysia dianggap sebagai sebuah negara kecil namun negara masih mengutamakan memperjuangkan hak-hak manusia.

“Suara Malaysia sering kali diminta di pentas dunia, kita akan mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menangani konflik ini,” katanya.

Zambry turut berkata, Malaysia akan menggunakan semua pengaruh sedia ada khususnya dalam khususnya melibatkan negara jiran, negara Islam dan negara-negara membangun.

“Malaysia akan mengutamakan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Kumpulan Negara Membangun (G77), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Global South,” katanya.

Sementara itu, Zambry turut memaklumkan Wisma Putra juga mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin dunia termasuk India dan Qatar pada minggu depan.

“Esok saya akan berada di luar negara dalam usaha kita untuk melakukan usaha bagi mencari jalan penyelesaian yang berlaku ini,” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles