Malaysia–Indonesia Timbang Pembangunan Bersama Blok Ambalat di Laut Sulawesi

KUALA LUMPUR, Kerajaan Malaysia sedang mempertimbangkan cadangan untuk melaksanakan pembangunan bersama (Joint Development – JD) bersama Indonesia di kawasan pertikaian maritim di Laut Sulawesi, khususnya membabitkan Blok ND6 dan ND7, yang turut dikenali sebagai kawasan Ambalat oleh pihak Indonesia.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Haji Alamin, menjelaskan bahawa walaupun perjanjian persempadanan dikenali sebagai Triti Sulawesi 2023 telah dimeterai pada 8 Jun tahun lalu, perjanjian itu hanya meliputi sebahagian kawasan laut wilayah di pantai timur Sabah dan tidak merangkumi zon ekonomi eksklusif (ZEE) di mana terletaknya Blok ND6 dan ND7.

“Blok-blok ini terletak dalam kawasan ZEE Malaysia sepanjang 200 batu nautika dan masih menjadi subjek perbincangan dalam isu persempadanan maritim dengan Indonesia,” katanya dalam satu hantaran di Laman Media Sosialnya malam tadi.

Jelas Mohamad Alamin lagi, Beliau turut menolak dakwaan bahawa kerajaan telah menyerahkan kedaulatan wilayah kepada Indonesia susulan penandatanganan perjanjian 2023, sambil menegaskan bahawa pelbagai penjelasan telah dibuat termasuk di Parlimen, Dewan Undangan Negeri Sabah dan dalam sidang media terdahulu.

Potensi Ekonomi dan Cadangan Pembangunan Bersama

Menurut Mohamad, Blok ND6 dan ND7 dipercayai mempunyai simpanan minyak dan gas yang signifikan, tetapi kedua-dua negara masih tidak dapat meneroka kawasan tersebut memandangkan ia masih belum mempunyai sempadan maritim yang dimuktamadkan.

“Melihat kepada potensi ekonomi kawasan ini, ada cadangan agar Malaysia dan Indonesia membangunkannya secara bersama menerusi pendekatan JD sementara rundingan persempadanan dimuktamadkan,” ujarnya.

Idea pembangunan bersama ini bukan perkara baharu. Pada tahun 2022, Perdana Menteri ketika itu telah mengarahkan Petronas mengkaji kemungkinan pelaksanaan JD di kawasan terbabit.

Terbaru, cadangan ini turut dibincangkan semasa lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jakarta pada 27 Jun 2025. Bagaimanapun, tiada keputusan muktamad dibuat dan Perdana Menteri menegaskan bahawa kepentingan wilayah Sabah perlu diambil kira secara adil.

Sabah Mesti Terlibat dalam Keputusan

Mohamad menegaskan bahawa sebarang keputusan berhubung JD perlu mendapat pandangan dan persetujuan daripada Kerajaan Negeri Sabah. Rundingan akan dilakukan melalui mekanisme sedia ada seperti Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri bersama Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak.

Beliau turut memaklumkan bahawa Jawatankuasa Teknikal Persempadanan Maritim yang diterajui oleh Kementerian Luar kini masih giat berusaha untuk memuktamadkan sempadan di Laut Sulawesi, melibatkan pelbagai agensi termasuk Pejabat Peguam Negara, Majlis Keselamatan Negara (Sabah), Jabatan Pemetaan Malaysia dan Kerajaan Negeri Sabah.

Mengakhiri kemaskininya, Mohamad memberi jaminan bahawa kerajaan Persekutuan akan terus komited memperhalusi isu ini melalui rundingan serta memastikan kedaulatan dan kepentingan negara, termasuk Sabah, sentiasa dipertahankan.

“JD di Laut Sulawesi adalah hal yang masih dalam pertimbangan dan belum dimuktamadkan. Segala keputusan akan dibuat secara telus dan inklusif demi memastikan kepentingan bersama kedua-dua negara terpelihara,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles