Malaysia, Indonesia Setuju Tingkat Kerjasama Dalam Pelbagai Bidang Termasuk Pertahanan – PM

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk memanfaatkan segala kekuatan yang ada antara kedua-dua negara untuk meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk pertahanan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata Indonesia mempunyai banyak pengalaman dalam bidang pertahanan dan Malaysia bersedia untuk melihat sebarang bentuk jalinan kerjasama yang ada.

“Harus ada kesediaan pihak Malaysia untuk melihat apa yang mungkin kita peroleh dari Indonesia dan yang tentunya lebih utama ketimbang memperoleh atau membeli dari negara-negara lain.

“Jadi hal itu hanya akan berlaku sekiranya ada bukan sahaja persefahaman tapi kedekatan, keyakinan dan trust dalam kalangan pimpinan dan pasukan pimpinan,” katanya.

Anwar berkata demikian pada sidang media bersama Presiden Indonesia Prabowo Subianto di Menara Berkembar Petronas, sempena lawatan negara pemimpin itu ke Malaysia hari ini.

Perdana Menteri berkata Malaysia dan Indonesia mempunyai sejarah yang dekat seperti bahasa serta budaya dan justeru itu, kedua-dua negara juga harus meningkatkan kerjasama bidang ekonomi, perdagangan, pelaburan, pendidikan, kajian, teknologi makanan, industri hiliran serta tenaga.

Anwar turut menyifatkan kunjungan Prabowo ke Malaysia atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebagai sangat bermakna, terutamanya apabila beliau dikurniakan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (D.K.1) pada sesi menghadap di Istana Negara, hari ini.

“Itu tanda persahabatan, kekeluargaan dengan keluarga Sultan Ibrahim, Johor dan tentunya kita senang dengan perkembangan ini yang menunjukkan keistimewaan, keunikan persahabatan dan hubungan yang tidak berlaku di antara mana-mana negara lain,” kata beliau.

Anwar turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Presiden Indonesia itu yang disifatkannya sebagai sahabat setia dan saudara yang dekat, dalam masa senang dan susah.

“Jadi sekali lagi bagi pihak saya dan keluarga, saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada sahabat dan saudara saya, saudara Prabowo Subianto yang dekat dalam masa senang susah, hanya di antara sahabat setia saya yang sentiasa memerhatikan dan mengambil berat dalam masa duka lara saya yang panjang.

“Tidak ramai yang kita boleh catat kehebatan, keikhlasan mereka dan saya senaraikan Prabowo Subianto di antara yang terkecuali kerana kedekatannya dan kesungguhannya sehinggakan menimbulkan juga ketidaksenangan dengan kemarahan daripada pihak tertentu pada ketika itu,” kata beliau.

Anwar dan Prabowo sebelum itu mengadakan pertemuan dan mesyuarat dua hala yang berlangsung lebih satu jam sebelum sidang media berlangsung.

Terdahulu, Prabowo diberikan sambutan negara penuh istiadat di Istana Negara hari ini bersempena dengan lawatan negara ke Malaysia.

Wisma Putra dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan lawatan ini ialah lawatan negara pertama oleh seorang ketua negara asing ke Malaysia, selepas pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Ia juga merupakan lawatan negara pertama oleh Prabowo ke negara Asia Tenggara sejak pelantikannya sebagai Presiden Indonesia pada 20 Okt 2024.

Sebagai jiran rapat yang mempunyai hubungan kukuh dan ahli pengasas ASEAN, lawatan negara ini mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh hubungan strategik demi kemakmuran bersama. Hubungan itu merentasi pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi, pertahanan, kesalinghubungan, pendidikan dan sosiobudaya.

Dari Januari hingga November 2024, jumlah perdagangan dua hala antara kedua-dua negara mencatat RM106.06 bilion (AS$23.2 bilion), meningkat daripada RM101.99 bilion (AS$22.41 bilion) yang direkodkan dalam tempoh sama pada 2023.

Pada 2023, Indonesia merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia pada peringkat global dan ketiga terbesar dalam ASEAN, dengan jumlah perdagangan sebanyak RM111.21 bilion (AS$24.39 bilion). – BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles