PUTRAJAYA, — Kementerian Luar Malaysia sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Arab Saudi bagi membantu usaha mengesan seorang pelakon rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang selepas tiba di Jeddah, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata perkara itu mula dibangkitkan melalui laporan media nasional sebelum disusuli maklumat daripada media tempatan, yang kemudiannya mendorong Wisma Putra untuk segera berhubung dengan Konsulat Malaysia di Jeddah.
“Kita telah berhubung dengan pihak konsulat di Jeddah, selain berkomunikasi dengan polis dan pasukan penyelamat di sana. Pihak imigresen di Lapangan Terbang Jeddah telah mengesahkan bahawa individu berkenaan telah keluar dari lapangan terbang, yang bermakna beliau telah memasuki negara itu secara sah,” katanya ketika ditemui di Laman Media, Pusat Dagangan Dunia (WTC) disini, hari ini.
Mohamad berkata pihak berkuasa tempatan memaklumkan bahawa laporan orang hilang hanya boleh dibuat selepas tempoh 20 jam, selaras dengan prosedur operasi standard di Arab Saudi.
“Polis tempatan memaklumkan kita perlu menunggu 20 jam sebelum laporan rasmi orang hilang boleh dibuat. Tempoh itu kini telah berlalu dan kita telah mengarahkan pejabat konsulat Malaysia di Jeddah untuk mengambil tindakan lanjut serta melakukan yang terbaik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa agensi pelancongan yang menguruskan perjalanan pelakon berkenaan tidak boleh lepas tangan dan perlu bertanggungjawab sepenuhnya.
“Beliau ke sana melalui satu rombongan yang melibatkan kira-kira 20 orang. Jadi kita perlu mendapatkan maklumat lengkap — dengan siapa beliau pergi, pergerakan rombongan dan butiran perjalanan. Agensi pelancongan mesti memberi kerjasama penuh,” katanya.
Mohamad turut menyatakan keyakinan terhadap kecekapan pihak berkuasa Arab Saudi dalam mengendalikan kes berkenaan, khususnya pasukan polis negara itu.
“Kita percaya kepada kecekapan pihak polis Arab Saudi. Mereka mempunyai keupayaan yang baik dan kita yakin mereka akan membantu sepenuhnya. Tambahan pula, terdapat kerjasama yang baik antara Konsulat Malaysia dan pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Beliau turut meminta keluarga pelakon berkenaan agar bertenang sementara usaha pencarian sedang giat dijalankan.
“Kita faham kebimbangan keluarga, namun kita sedang berusaha sebaik mungkin untuk mengesan beliau. Kawasan sekitar Jeddah dan laluan ke Mekah sememangnya sesak dengan jemaah, namun segala bentuk kerjasama sedang digerakkan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan pelakon itu dilaporkan gagal dikesan selepas penerbangannya ke London dari Kuala Lumpur sedang transit sementara di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz pada Khamis.
Terdahulu media melaporkan suami pelakon terbabit merayu kerajaan menggerakkan usaha diplomatik dengan kerajaan Arab Saudi bagi mempercepatkan proses pencarian isterinya.
Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, 57, berkata keadaan ketika ini memerlukan tindakan segera diambil dan bantuan kerajaan amat diperlukan bagi membantu usaha menjejaki keberadaan Nadia Kesuma yang masih misteri.










