“Malaysia perlu menjadi sangat berhati-hati menjaga sempadan negara terutama apabila melibatkan kemasukan pelancong dari China,” kata Presiden Hospital Swasta Malaysia, Dr Kuljit Singh.
Hal ini susulan kerajaan China membenarkan rakyatnya mengembara ketika kes pandemik di republik itu melonjak sehingga 62,439 kes dalam seminggu.
Mengambil iktibar daripada penularan wabak pada tahun 2020, Dr Kuljit berpendapat itu langkah terbaik bagi membendung penularan COVID-19 di Malaysia.
“Kita perlu lakukan pemerhatian rapat dan sentiasa mengambil maklum mengenai kewujudan varian baharu di China kerana kita perlu tahu tahap bahaya dan risiko yang sedang kita hadapi.”
“Ia adalah kerja yang sukar dan kita perlu tahu varian ini mampu untuk merebak dengan pantas.”
Tambahnya, selain dari mengawal kemasukan pelancong asing, Kerajaan juga perlu terus memberikan pendidikan dan sebar kesedaran kepada rakyat untuk terus memakai pelitup muka, cuci tangan serta ambil dos penggalak jika diperlukan.
Dalam pada itu, Pakar Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Sharifah Ezat Wan Puteh berkata, gelombang COVID-19 akan terus mengancam Malaysia jika tiada langkah diambil oleh Kerajaan.
“Tidak dinafikan sekitar Tahun Baru Cina atau paling awal selepas tahun baru nanti, kita berkemungkinan akan melihat peningkatan kes COVID-19 kerana kemasukan pelancong dari China. Mereka memang suka melancong ke sini.”
“Setakat ini, saya belum nampak hal ini dipandang serius oleh pihak berwajib sedangkan ia berpotensi menyebabkan lambakan kes baharu dalam negara. Kita memahami keperluan ekonomi namun ada golongan berisiko dalam negara.”
“Kemasukan mereka di sempadan jika boleh, perlu dikawal sebaiknya. Jika ada yang positif, mereka perlu menjalani kuarantin,” katanya.
Walau bagaimanapun, Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA) menjangkakan sejuta pelancong China akan tiba di negara ini pada 2023.
Sebelum ini, kerajaan China dilaporkan membenarkan rakyatnya untuk mengembara selepas tiga tahun disekat meskipun kadar jangkitan COVID-19 di negara itu meningkat mendadak.
Ekoran itu, ramai rakyatnya menempah tiket penerbangan untuk bercuti ke luar negara, terutamanya menjelang musim sambutan Tahun Baharu Cina.
Terbaharu, hampir separuh daripada penumpang dua pesawat dari Beijing dan Shanghai ke Milan diuji positif COVID-19 pada hari Isnin lalu.
Menurut portal antarabangsa, daripada 92 penumpang, sekurang-kurangnya 35 dilaporkan positif jangkitan COVID. Dalam sebuah lagi pesawat lain, 62 daripada 120 penumpang didapati dijangkiti virus itu.