Malaysia Hantar 50 Tan Bantuan Kemanusiaan Ke Gaza

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar Negeri memaklumkan sebanyak 50 tan barangan utama bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin di Gaza dengan nilai RM7 juta telah siap sedia untuk dihantar ke Gaza melalui Mesir.

Ujarnya barangan ini dikumpul melalui kempen Ops Ihsan oleh lebih 40 pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan pada 21 dan 22 Oktober lalu.

Penghantaran pertama barangan kemanusiaan ini dijadual dihantar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Al Arish melalui penerbangan kargo sewaan khas pada 3 November 2023 atas pembiayaan Kerajaan Malaysia.

Penghantaran seterusnya adalah melalui laut dan akan digerak sebaik mendapat butiran terkini dari lapangan oleh Pasukan Ops Ihsan ke bandar Ismaliyah, Mesir dalam masa terdekat.

Menurutnya, penghantaran barangan bantuan kemanusiaan ke Gaza perlu mendapat kelulusan Kerajaan Mesir terlebih dahulu sebelum diurus oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir, sebagai agensi pelaksana tunggal bagi menguruskan penghantaran melalui pintu masuk sempadan Rafah-Gaza.

Dalam pada itu, katanya, sumbangan rakyat Malaysia kepada Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) mencecah RM23juta setakat hari ini.

Ia termasuk dana yang telah diterima daripada syarikat korporat yang menjanjikan sumbangan sewaktu Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung AAKRP pada 19 Oktober 2023 di Sri Perdana.

“Kementerian Luar Negeri mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang telah menyalurkan sumbangan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambahnya, berikutan jumlah sumbangan yang tinggi masuk ke dalam akaun AAKRP, pengeluaran resit rasmi sumbangan melalui AAKRP ini akan mengambil sedikit masa.

Sumbangan tunai boleh disalurkan kedalam Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin menerusi nombor akaun 86-0030248-9 CIMB Islamic Bank Berhad.

Sumbangan yang dibuat melalui AAKRP adalah layak dituntut sebagai potongan cukai pendapatan di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.

BBerkaitan

Latest articles