KUALA LUMPUR: Malaysia komited untuk memastikan kadar tarif yang adil dalam rundingan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS), sambil membawa suara ASEAN sebagai blok serantau yang bersatu dan berpengaruh.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata rundingan mengenai isu tarif timbal balas antara Malaysia dan AS kini berjalan lancar dan menunjukkan perkembangan positif.
Rundingan itu diketuai oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang kini berada di Washington untuk membincangkan tindakan tarif dikenakan semula oleh AS terhadap beberapa negara membangun termasuk Malaysia.
“Perbincangan dengan Setiausaha Perdagangan dan wakil AS berlangsung dengan baik. Kita bukan hanya membawa kepentingan Malaysia, tetapi juga menyuarakan pendirian ASEAN sebagai satu blok serantau,” kata Anwar.
Anwar berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Meja Bulat Asia Pasifik (APR) Ke-38 anjuran Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, hari ini.
Menurut beliau, Malaysia memandang isu perdagangan bukan hanya dari sudut hubungan dua hala, tetapi dalam konteks serantau yang lebih luas.
“Saya menggesa rakan-rakan ASEAN untuk bersatu dalam menyuarakan pendirian bersama. ASEAN perlu kekal sebagai entiti ekonomi yang dihormati dan berpengaruh,” ujarnya lagi.
Anwar menekankan bahawa kekuatan ASEAN bergantung kepada kesepakatan dan kerjasama antara negara-negara anggotanya, terutama dalam menghadapi cabaran perdagangan global.