Malaysia Enggan Iktiraf LGBTIQ Oleh AS

Malaysia menolak dasar luar pentadbiran baharu Amerika Syarikat (AS) seperti yang diumumkan Presidennya, Joe Biden yang mahu mempromosikan hak asasi golongan lesbian, gay, biseksual, transgender, interseks dan pelik (LGBTIQ) di seluruh dunia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata LGBTIQ sejak awal lagi adalah bertentangan dengan normal manusia biasa.

“Justeru ia bertentangan dengan syariat Islam dan kita (kerajaan) tidak menyokong sebarang kempen yang dilabelkan LGBTIQ di negara ini.

“Perkara ini (penolakan kempen) diterima pakai oleh semua budaya masyarakat Malaysia secara majmuk di Malaysia,” katanya.

Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor turut menyelar langkah Biden yang disifatkan tidak sensitif dan boleh menimbulkan ketidaktentuan terhadap umat Islam bukan sahaja di AS tetapi di luar negara itu.

“Dalam pilihan raya lalu, sebahagian besar penyokongnya adalah warganegara yang beragama Islam dan sepatutnya beliau sensitif dalam setiap tindakannya,” katanya.

Jika ia diteruskan, Mohd Roslan berpandangan bahawa langkah Biden itu dijangka memberi sambutan positif dalam kumpulan LGBTIQ untuk memperjuangkan hak mereka.

Bagaimanapun beliau menegaskan dasar tersebut tetao tidak diterima pakai di Malaysia.

“Apa yang dilakukan Biden hanya merujuk kepada hak asasi manusia yang tidak berteraskan agama Islam dan ia tidak sesuai untuk diamalkan di negara ini.

“Dalam ‘Cairo Declaration on Human Rights in Islam’ yang dipersetujui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga menyatakan, segala perkara yang menyanggah syariah Islam tidak boleh diamalkan di sebuah negara Islam. Jadi kempen sedemikian tidak sesuai dalam konteks Malaysia,” katanya.

Dalam masa yang sama, Mohd Roslam berkata isu LGBTIQ di Malaysia harus ditangani tanpa kekerasan dan menggunakan pendekatan seperti dialog, kaunseling dan ‘pyschospritual’.

Pada Khamis lalu, Biden mengumumkan beliau mengarahkan semua agensi kerajaan AS di luar negara untuk mempromosikan hak asasi LGBTIQ serta mengemukakan perancangan dalam tempoh 180 hari.

Beliau turut berjanji memberi perhatian kepada pemohon suaka dalam kalangan LGBTIQ, termasuk memastikan tindakan diambil untuk kes kecemasan walaupun mereka terlebih dahulu lari ke negara yang kurang mengalu-alukan golongan itu.

BBerkaitan

Latest articles