Dalam ucapan Perutusan Khas YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebentar tadi, beliau ada menyebut tentang satu laporan yang menyatakan Malaysia diletakkan di kedudukan ke-4 dalam satu kaji selidik global berkaitan penerimaan rakyat tentang langkah negara mereka ambil untuk berdepan wabak Covid-19.
Kita mendahului Singapura dan Indonesia yang berada di kedudukan yang sama iaitu tempat ke-7.
Kaji selidik itu dijalankan secara bersama oleh sebuah agensi hartanah Kumpulan Global IQI, agensi penyelidikan Singapura Blackbox Research dan pakar kaji selidik antarabangsa Toluna antara 3 April hingga 19 April 2020 melibatkan 12,000 koresponden berusia antara 18 hingga 80 tahun dari 23 buah negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Global IQI Kashif Ansari berkata penerimaan rakyat Malaysia tidak mengejutkan kerana kerajaan negara ini bertindak dengan baik berdepan wabak pandemik itu.
Di samping itu, Malaysia mempunyai sistem perubatan kelas dunia dan kerajaan mengambil langkah yang agresif tetapi pada masa sama menjaga kepentingan penduduknya.
“Mereka meletakkan kesihatan sebagai keutamaan daripada keuntungan aspek ekonomi dalam jangka masa pendek.
“Kesannya, Malaysia kini menerima kadar jangkitan yang rendah dan mereka dilihat akan menamatkan perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan lebih awal dari banyak negara lain di dunia,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, apabila pembeli hartanah dari China dan beberapa bahagian di Asia membuat tinjauan, mereka melihat Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) masih mengalami kesulitan dalam menangani krisis yang disebabkan oleh koronavirus generasi baru itu.
Negara Malaysia akan pulih serta menutup perintah kawalan pergerakan dengan jumlah kehilangan nyawa yang sedikit berbanding 105 buah negara yang kadar kematian akibat penyakit berkenaan berbanding 1 juta orang adalah lebih tinggi berbanding Malaysia.
Malaysia di kedudukan ke-4 dengan 58 mata di belakang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan India di kedudukan ke-3 dengan 59 mata.
Vietnam di tempat ke-2 dengan 77 mata dengan China di kedudukan pertama dengan 85 mata.
Penduduk negara berkenaan memberikan penilaian berdasarkan beberapa aspek iaitu langkah pemimpin politik, langkah pemimpin sektor korporat, komuniti dan media.
New Zealand dengan 56 mata adalag satu-satunya negara barat dengan mata yang lebih tinggi dari mata purata global menunjukkan rakyat di negara-negara barat secara umumnya kurang berpuas hati dengan langkah yang diambil oleh kerajaan mereka.
Di Asia Tenggara, Malaysia dilihat sebagai negara paling selamat ketika pandemik ini melanda. Dengan polisi visa yang baik, ekonomi yang pelbagai, peluang pendidikan yang luas, infrastruktur perubatan yang hebat dan langkah berkesan menangani Covid-19 akan menjadikan Malaysia popular dalam kalangan pembeli hartanah pada separuh kedua tahun 2020 berbanding tahun lepas.
“Pembeli dari Tanah Besar China dan Hong Kong adalah kumpulan pembeli hartanah asing terbesar di Malaysia.
“Kita menjangkakan ada peningkatan jumlah pembeli dari Singapura, Indonesia dan Jepun pada tahun ini,” katanya. – TRI