Nampaknya usaha Malaysia mengawal penularan wabak Covid-19 terus mendapat perhatian dan penghargaan ramai pihak antarabangsa.
Terbaru, penyelidik dari Australia, Stewart Nixon memberi penghargaan buat negara ini di dalam satu komentar yang disiarkan menerusi Channel News Asia.
Ujarnya, pengurusan terpenting barisan hadapan yang bekerja keras mengekang penularan wabak merbahaya ini perlu menjadi ikutan pelbagai negara yang mempunyai populasi padat, iklim politik yang kurang menentu dan konflik pencerobohan sempadan.
Apatah lagi wabak ini menular ke Malaysia dalam tahap tertinggi selepas pergolakan politik yang menyaksikan pertukaran tampuk pimpinan selepas dua minggu.
“Usaha keras Malaysia ini diterajui di bawah kepimpinan pemimpin yang meyakinkan, iaitu Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah yang mampu menggabungkan kepakarannya dalam bidang perubatan dengan penjagaan dasar awam yang hebat.
“Beliau dan golongan profesional barisan hadapan di Kementerian Kesihatan (KKM) turut mendapat sokongan daripada ahli politik (kerajaan) untuk memikul tanggungjawab itu.
Gambar: Agensi
“Pelaksanaan pencegahan berjaya dijalankan secara konsisten dan diselaraskan di seluruh negara, selain mesej (pesanan) untuk orang awam ternyata jelas dan berfakta serta (penyampaiannya) boleh diakses melalui media lama mahupun baharu.
“Selain itu, perkhidmatan awam yang kuat bersumberkan kepimpinan tanpa berunsur politik juga terbukti sangat berharga,” katanya dalam penulisan komentarnya bertajuk Malaysia Melawan Semua Jangkaan Ganas COVID-19 yang diterbitkan dua hari lalu.
Stewart turut memuji langkah pihak kesihatan mengesan kontak rapat secara agresif, ujian saringan berstrategik, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penglibatan pihak-pihak berkuasa yang lain.
“PKP di Malaysia agak ketat, ia melarang segala pergerakan orang awam selain daripada sektor-sektor perkhidmatan yang diperlukan (essential service).
“Selain itu, penglibatan anggota polis dan tentera juga dikerah bagi mengawal dan menguatkuasakan perintah, tidak seperti di Filipina; tentera mereka dilarang berkawal dengan senjata,” ujarnya.
Malah Stewart turut menyifatkan strategi negara menangani penularan wabak di kalangan warga asing juga sebagai berperikemanusiaan dan pragmatik, sekaligus menyebabkan golongan berkenaan melakukan saringan dan rawatan tanpa didiskriminasi.
Tahniah YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, YB Menteri Kesihatan, Dato’ Sri Dr Adham Baba, seluruh warga KKM dan semua frontliner yang berjaya menjadikan situasi Malaysia melawan Covid19 pada hari ini dalam situasi yang terbaik.
Kadar pesakit sembuh seramai 4,702 orang atau 73.15% adalah antara kadar yang tertinggi di dunia. Malah sejak tiga hari lepas, sejumlah 11 negeri mencatat jumlah “0” kes.
Ini satu pencapaian yang baik. Insyallah jika diteruskan disiplin dan kepatuhan kendiri yang tinggi ini, #KitaAkanMenang