Malaysia Boleh Jadi Hebat Jika Seluruh Rakyat Memaknai Kemerdekaan

KUALA LUMPUR: Malaysia adalah milik semua rakyatnya, demikian menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Amanat Perdana sempena Hari Kebangsaan 2023, hari ini.

Justeru itu, seluruh rakyat diseru memaknai kemerdekaan dengan semangat kesepaduan dan percaya bahawa Malaysia boleh menjadi hebat jika setiap rakyat mempunyai semangat tersebut.

“Saya yakin kalau semangat ini ada dalam kalangan rakyat Malaysia akan muncul sebagai negara yang hebat, gagah di Asia Tenggara ini.

“Syaratnya semangat yang telah diperkukuhkan oleh bapa-bapa kita iaitu persatuan, perpaduan dan menerima kenyataan bahawa kita merdeka dengan suku kaum induk Melayu dan bumiputera

“Dengan penyertaan rakan-rakan lain. Cina, India, orang asli. Penyertaan Melanau, Dusun, Dayak, Khadzan, Bajau, Sulu semuanya masuk dalam keluarga dan kita kena pertahankan semnangat bahawa negara ini adalah negara milik semua rakyat Malaysia,” kata Anwar.

Katanya, kesatuan dan perpaduan yang telah dipupuk bagi menjadi masa depan negara melalui dasar dan pelaksanaan yang dilakukan.

Anwar turut menegaskan bahawa Malaysia Madani menerusi kepimpinan Kerajaan Perpaduan akan terus mempertahan dan menegakkan hak setiap rakyat.

“Kesatuan dan perpaduan yang kita pupuk ini untuk apa? Untuk dijamin masa depannya melalui dasar dan pelaksanaan sekarang, sebab itu saya kata dalam menyonsong ke depan, isu yang kadang-kadang sangat tidak disenangi sebahagian kecil kita, tentang pengurusan dan tata kelola, jangan gunakan kuasa untuk memunggah kekayaan untuk diri dan keluarga atau kroni.

“Masalah di negara kita bukan masalah perbezaan kaum, budaya atau agama. Allah jadikan perbezaan untuk kenal dan hormat di antara satu sama lain dan kita mesti terima kenyataan itu, tidak siapa mempertikai peruntukan-peruntukan mutlak, kukuh dalam perlembagaan negara kita. Soal Bahasa Melayu, soal Islam agama Persekutuan, soal hak keistimewaan Melayu bumiputera dan kedaulatan negara,” ujarnya lagi.

Anwar turut menegaskan merdeka bermaksud daripada kepimpinan tertinggi sehingga rakyat harus sedar bahawa bumi bertuah Malaysia ini merupakan satu amanah yang perlu dipertanggungjawabkan.

Mereka juga tidak harus menjadi alat oleh kumpulan elit untuk mengaut keuntungan.

“Dari pimpinan tertinggi sehingga rakyat harus tahu bahawa negara ini adalah suatu amanah dan segala kuasa yang ada di peringkat kecil, di kampung, penghulu, pejabat daerah sehinggalah di Jabatan Perdana Menteri (JPM) mesti melahirkan manusia yang jiwanya merdeka, yang tidak sanggup negara ini dijadikan perkakas untuk memperolehi habuan untuk golongan elit.

“Usaha memastikan jiwa merdeka itu harus saling berterusan, memaknai merdeka maknanya segala khazanah, kekuatan dan usaha adalah untuk mengembalikan hak kepada rakyat dan mengangkat martabat negara ini,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles