PUTRAJAYA: Malaysia akan memulakan usaha membangunkan semula Gaza dengan membina sebuah sekolah, hospital dan masjid sebagai langkah awal, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menjelaskan bahawa projek ini akan dilaksanakan melalui kerjasama antara rakyat Malaysia dan sektor swasta bagi memastikan keberkesanan serta kelangsungan bantuan kemanusiaan.
“Ia adalah pengorbanan masyarakat dan rakyat kita. Mudah-mudahan Allah memelihara kita dan menjamin keselamatan Gaza serta Palestin,” katanya dalam satu rakaman video.
Anwar turut memaklumkan bahawa usaha pembangunan semula Gaza turut melibatkan kerjasama erat antara kerajaan Malaysia dan Jepun.
Kedua-dua negara merancang untuk menubuhkan serta melancarkan dana khas menerusi program Asia Timur.
Pada 18 Januari lalu, Anwar dilaporkan berkata bahawa kos bagi membangunkan semula Gaza, yang hampir musnah akibat serangan Israel sejak Oktober 2023, dianggarkan melebihi USD1 trilion.
Beliau menjelaskan, peruntukan besar itu diperlukan kerana kemusnahan meluas yang menjejaskan pelbagai infrastruktur penting seperti masjid, sekolah, hospital dan perumahan penduduk.
Selain itu, Jepun telah menjemput Malaysia untuk menjadi pengerusi bersama dalam Persidangan mengenai Kerjasama antara Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD), yang memberi fokus kepada usaha membangunkan semula Gaza.