KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penubuhan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) menyerlahkan kesungguhan kerajaan melaksanakan transformasi digital di negara ini demi manfaat rakyat.
Berucap di Majlis Peluncuran Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini, Anwar menambah bahawa Malaysia mampu mencapai status negara berpendapatan tinggi seiring dengan dorongan peningkatan ekosistem digital secara meluas.
Begitu juga dengan penglibatan negara-negara besar termasuk Amerika Syarikat, China dan Eropah dalam NAIO turut menunjukkan sikap negara yang bebas jaring hubungan dengan semua negara.
“Penyertaan syarikat besar dalam NAIO ini menunjukkan pendirian Malaysia dengan menekankan hubungan dagang antarabangsa seperti FTA (Perjanjian Perdagangan Bebas) tetapi apa yang istimewa dan unik adalah tunjang masa depan dunia iaitu ekonomi digital.
“Jadi peralihan daripada industri asas seperti getah, biji timah dan sawit sedang melonjak ekonomi digital dan kita jangkakan dalam masa setahun ini, mampu melojak 23 peratus ke 25.5 peratus daripada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) bergantung dengan kelajuan dan kepantasan (ekonomi digital),” katanya.
Hadir sama ke majlis berkenaan adalah Menteri Digital, Gobind Singh Deo.
NAIO, yang berada di bawah seliaan MyDigital Corporation berperanan membantu kerajaan menggubal polisi yang selaras dengan pembangunan dan peningkatan keupayaan AI negara.
Ia merangkumi galakan inovasi, mempromosikan kerjasama merentas sektor dan menyokong integrasi AI dalam rangka kerja kerajaan, industri, dan masyarakat.
Selain itu, NAIO juga akan menerajui inisiatif yang memanfaatkan AI untuk memperkukuh ekonomi digital, meningkatkan perkhidmatan awam, dan menyumbang kepada pembangunan mampan.
Dalam pada itu Anwar juga menegaskan bahawa penubuhan NAIO adalah langkah penting untuk menangani isu literasi digital, bukan sahaja dalam kalangan kakitangan kerajaan dan ahli politik, tetapi juga dalam memperbaharui sistem pendidikan bagi berjuta-juta kanak-kanak.
Pejabat AI akan berperanan menyelaras usaha dalam penyelidikan dan pelaksanaan untuk mencapai matlamat tersebut.