KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan takziah kepada rakyat Korea Selatan susulan insiden rempuhan pada pesta Halloween di Itaewon, Seoul, kelmarin.
Malah beliau mewakili kerajaan dan rakyat Malaysia turut bersimpati dengan insiden yang berlaku.
“Mewakili kerajaan dan rakyat Malaysia, saya menzahirkan ucapan takziah kepada rakyat Korea Selatan di atas tragedi yang berlaku di Itaewon, Seoul pada 29 Oktober lalu.
“Simpati dan doa kami bersama mangsa serta keluarga mereka,” ciapnya di Twitter hari ini.
Untuk rekod, dalam kejadian Sabtu malam lalu, sekurang-kurangnya 149 orang terbunuh dalam insiden rempuhan membabitkan pengunjung yang menghadiri pesta Halloween.
Kejadian dilaporkan berlaku di kawasan berhampiran Hotel Hamilton di pusat hiburan malam yang terkenal.
Puluhan ribu pengunjung melawat kawasan berkenaan sempena pesta Halloween.
Menurut pihak berkuasa bomba, setakat awal pagi semalam, mereka yang terkorban termasuk dua warga asing, manakala 76 yang lain cedera, 57 daripadanya parah dan jumlah korban dijangka meningkat.