Malaysia Berhasrat Jadi Pusat Penyelidikan Vaksin

KUALA LUMPUR: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba memberitahu negara sedang giat berusaha membangunkan pusat penyelidikan vaksin khusus untuk COVID-19 serta mengumpul pakar bersasar bagi langkah kesiapsiagaan menghadapi penyakit berjangkit lain.

Dalam sesi penggulungan usul menjunjung kasih Titah Diraja peringkat kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini, Dr. Adham turut memberi contoh bagaimana Malaysia berjaya membuat baksin untuk kolera yang kini sudah memasuki fasa ujian klinikal.

Tambah beliau, selain Malaysia, pada ketika ini juga, Indonesia, Thailand dan Vietnam sudah mempunyai kemudahan, keupayaan dan kebolehan untuk membangunkan vaksin sendiri.

“Jika Malaysia mampu menghasilkan vaksin sendiri, ia sekali gus dapat menyelesaikan pelbagai kemelut berkaitan program vaksinasi sekarang termasuklah isu kekurangan bekalan, kos harga vaksin yang meningkat dan jadual penghantaran yang tidak menentu disebabkan kebergantungan dari negara pengeluar,” katanya.

Kata Dr. Adham, syarikat Pharmaniaga LifeSciences Sdn Bhd, sebuah anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sudah memulakan program pembangunan vaksin pada 2018 dengan mewujudkan kilang pembotolan vaksin pertama bagi mengimbangi kebergantungan negara kepada produk import.

“Dengan keperluan vaksin COVID-19, Pharmaniaga sudah membuat perubahan kepada kilang berkenaan dari segi aktiviti Sterile Small Volume Injectibles (SSVI) kepada pengilangan ‘fill and finish’ bagi mempercepatkan penghasilan vaksin COVID-19,” katanya.

Sementara itu, Dr Adham berkata, kerajaan sedang membangunkan satu laman web khas bagi membolehkan penerima lengkap dua dos vaksin COVID-19 mencetak terus sijil vaksinasi mereka.

Beliau berkata kemudahan ini akan dapat membantu khususnya warga emas atau golongan yang tiada telefon pintar untuk mendapatkan sijil vaksinasi secara bercetak dan boleh di bawa ke mana-mana.

“Setiap individu yang sudah menerima dos lengkap melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), akan menerima sijil digital vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera.

“Sijil digital vaksinasi terkini mempunyai kod QR melalui teknologi blockchain, yang boleh diimbas menggunakan aplikasi pengesahan bagi menjamin ketulenan sijil itu,” katanya.

Komen

Berkaitan

Media Sosial

19,954FansLike
3,871FollowersFollow
21,200SubscribersSubscribe

Terkini