PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran bahawa Malaysia tidak akan berdiam diri sekiranya kapal Misi Global Sumud Flotilla (GSF) dipintas atau diganggu rejim Zionis ketika menghampiri persisiran Gaza.
Menurut Anwar, bantahan keras akan digerakkan dan beliau sendiri bersedia menghubungi rakan-rakan diplomatik antarabangsa bagi memastikan usaha perdamaian Gaza terus diperkukuh.
“Kalau ada cubaan memintas atau menggugat, Malaysia akan bertindak membuat bantahan menyeluruh. Saya juga akan segera berhubung dengan sahabat-sahabat diplomatik termasuk Itali, Sepanyol, Turkiye, China, Perancis dan Arab Saudi yang kini giat menggerakkan inisiatif damai,” katanya pada sidang media khas semalam.
Terdahulu, Anwar meninjau operasi di Sumud Nusantara Command Center (SNCC) dan mendengar taklimat perkembangan misi daripada Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby.
Anwar turut menekankan kepentingan pertemuannya dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bagi menyampaikan mesej jelas Malaysia tentang penyelesaian adil untuk Palestin.
“Walaupun ada kontroversi, mesti ada pihak yang berani menyampaikan suara kita. Tanggungjawab saya ialah memastikan dunia dengar tuntutan kita hentikan serangan ke atas Gaza, jamin kemerdekaan Palestin sebagai negara berdaulat dan percepatkan bantuan kemanusiaan serta perubatan,” katanya.
Beliau berkata, kerangka perdamaian terbaharu yang dibentangkan AS akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri untuk diteliti.
Walaupun masih jauh daripada memenuhi aspirasi rakyat Palestin, Anwar menyifatkannya sebagai langkah awal penting.
“Paling utama hentikan keganasan, tamatkan penjajahan dan segerakan bantuan kemanusiaan yang amat mendesak,” tegasnya.
Dalam perkembangan lain, Anwar mengadakan panggilan video bersama 34 delegasi Malaysia yang menyertai misi GSF, yang kini memasuki hari ke-30.
“Kami kagum dengan keberanian dan semangat anda semua. Insya-Allah, kerajaan akan terus menjaga kebajikan ahli keluarga setiap delegasi. Kehadiran anda di lapangan membuktikan solidariti Malaysia bukan sekadar di meja diplomasi tetapi juga melalui pengorbanan sebenar,” ujarnya.
Anwar menegaskan penyertaan Malaysia dalam flotila ini akan tercatat sebagai sejarah besar perjuangan kemanusiaan dan keadilan untuk rakyat Palestin.