KUALA LUMPUR: Malaysia bersama ASEAN terus berpegang pada prinsip kepusatan blok, memastikan rantau ini kekal bebas menjalinkan kerjasama dengan Amerika Syarikat, China, India, Eropah, dan negara-negara lain tanpa terlibat atau berpihak dalam konflik luaran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa keterangkuman dan kemampanan perlu menjadi asas kebangkitan Malaysia dan ASEAN, dengan memilih pendekatan perkongsian kemakmuran secara adil dan menyeluruh tanpa pengecualian.
Beliau juga melahirkan rasa syukur atas kejayaan misi Malaysia ke empat negara iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE), United Kingdom, Belgium, dan Switzerland, yang disifatkan telah memperkukuh hubungan dua hala, menarik pelaburan, serta meningkatkan perdagangan.
“Meskipun terdapat pelbagai cabaran politik, pemimpin dan rakyat di negara-negara ini tetap memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi, budaya ilmu, kemahiran, keterampilan, dan kecerdasan buatan.
“Pendekatan ini patut kita jadikan teladan, berbanding terus berbicara isu-isu remeh yang hanya memecah belah dan merugikan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Anwar, misi tersebut juga digunakan untuk mengangkat hubungan erat dalam ASEAN, menjadikannya kekuatan utama rantau ini.