KUALA LUMPUR: Sidang Kemuncak ASEAN 2025 yang baru melabuhkan tirainya bukan sekadar pesta diplomatik, tetapi menjadi simbol kebangkitan baharu rantau ini di bawah pimpinan Malaysia.
Dalam ulasan bertajuk “Beyond the Summitry – Elevating ASEAN’s Promise and Playing Field”, Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah, memuji kejayaan Malaysia menganjurkan sidang bersejarah itu yang disifatkannya sebagai “bukan sekadar perarakan megah, tetapi tarian halus diplomasi moden yang penuh strategi dan makna.”
Menurut Faiz, kejayaan Malaysia memujuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk hadir ke sidang ASEAN adalah sesuatu yang jarang berlaku disifatkan “kejayaan diplomatik besar” hasil ketekunan dan kebijaksanaan Kuala Lumpur.
Lebih membanggakan, Malaysia turut memainkan peranan utama dalam memeterai perjanjian damai antara Kemboja dan Thailand, yang turut disahkan sendiri oleh Trump dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Meyakinkan dua negara berjiran yang tegang untuk berundur selangkah dari konflik bukan mudah. Namun Malaysia berjaya mengembalikan ketenangan, walau tidak sempurna,” katanya.
Kehadiran Brazil dan Afrika Selatan sebagai tetamu khas ASEAN tahun ini juga dilihat sebagai bukti diplomasi progresif Malaysia, yang berani memperluas jaringan antarabangsa ASEAN melalui pendekatan inter-regionalism iaitu berinteraksi dengan kuasa besar tanpa tunduk kepada mana-mana pihak.
Malaysia turut menjadi pemacu kepada kejayaan Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Keamanan dan Kestabilan, kenyataan bersama pertama selepas tiga tahun yang mendapat persetujuan semua anggota Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS).
“Malaysia dan negara anggota ASEAN lain berjaya mengembalikan semangat asal EAS, satu forum yang dulu dikritik ‘lesu’, kini kembali bermakna,” jelas Faiz.
Di bawah kepimpinan Malaysia sebagai pengerusi tahun ini, ASEAN berjaya memperkukuh asas ekonomi serantau melalui penambahbaikan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) dan ASEAN-China Free Trade Area (ACFTA 3.0).
Langkah ini membuka peluang baharu dalam sektor digital, hijau dan teknologi tinggi, termasuk pelancaran ASEAN Digital Economy Framework Agreement (DEFA) yang dijangka ditandatangani pada 2026.
Selain itu, ASEAN juga memperkenalkan ASEAN Framework for an Integrated Semiconductor Supply Chain (AFISS) — pelan besar bagi mengukuhkan rantaian bekalan cip serantau dan menarik pelaburan bernilai tinggi.
“Langkah-langkah ini bukti ASEAN tidak lagi hanya bercakap, tetapi bertindak. Malaysia berjaya membentuk hala tuju ekonomi yang lebih tangkas dan berdaya tahan,” ujar Faiz.
Penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN turut dianggap sebagai detik penyatuan penuh Asia Tenggara.
Faiz percaya Malaysia meninggalkan legasi kukuh untuk diteruskan oleh Filipina yang akan mengambil alih kerusi pengerusi tahun depan.
“Sidang kali ini bukti jelas bahawa Malaysia telah mengembalikan keyakinan dunia terhadap ASEAN bukan melalui retorik, tetapi melalui hasil,” katanya.
Dalam penutupnya, Faiz menegaskan bahawa pendekatan diplomasi aktif Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah melonjakkan semula imej Malaysia di mata dunia.
“Anwar memimpin dengan keseimbangan antara prinsip dan pragmatisme. Malaysia kini dikenali bukan sekadar sebagai pemerhati, tetapi sebagai jambatan penghubung dan suara berprinsip di tengah dunia yang bergolak,” katanya.
Faiz turut menegaskan bahawa cabaran kini adalah untuk meneruskan momentum selepas sorotan sidang berakhir, agar setiap inisiatif yang dilancarkan diterjemah kepada tindakan nyata.










