Malaysia–AS Naik Taraf Hubungan ke Tahap Tertinggi, Era Baharu Perkongsian Strategik Komprehensif

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) melakar sejarah baharu apabila kedua-dua negara bersetuju menaik taraf hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (Comprehensive Strategic Partnership, CSP) iaitu satu langkah penting yang menandakan pengukuhan kerjasama dalam pelbagai bidang strategik.

Persetujuan bersejarah itu dimeterai selepas mesyuarat dua hala antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden AS, Donald Trump di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), bersempena Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 serta Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20.

Menurut kenyataan Wisma Putra, pertemuan pertama antara kedua-dua pemimpin itu digambarkan sebagai satu detik bersejarah dalam hubungan diplomatik Malaysia–AS yang telah terjalin sejak tahun 1957.

“Kedua-dua pemimpin menyifatkan pertemuan ini sebagai langkah penting memperkukuh hubungan dua hala dan mengukuhkan komitmen bersama terhadap keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau,” jelas kenyataan itu.

Penaiktarafan hubungan kepada CSP menandakan komitmen baharu kedua-dua negara untuk memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, teknologi tinggi, pertahanan, keselamatan tenaga serta kestabilan rantau Indo-Pasifik.

“CSP ini akan terus memperkukuh peranan Malaysia sebagai rakan strategik utama dan dipercayai di rantau Asia Pasifik,” tambah kenyataan berkenaan.

Amerika Syarikat kekal antara rakan dagang terbesar Malaysia, dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah RM324.91 bilion (USD71.39 bilion) tahun lalu, menggambarkan kebergantungan ekonomi yang semakin kukuh antara kedua-dua negara.

BBerkaitan

Latest articles