KUALA LUMPUR: Malaysia mencatat sejarah apabila menjadi tuan rumah pertama Digital Nation Summit Kuala Lumpur Edisi ASEAN, acara serantau yang menghimpunkan pemimpin kerajaan, pengawal selia, industri serta rakan antarabangsa bagi membincangkan masa depan digital Asia Tenggara.
Sidang kemuncak yang dianjurkan bersama GSMA sempena Pengerusi ASEAN 2025 ini berlangsung di The Westin Kuala Lumpur dengan memberi fokus kepada hala tuju transformasi digital rantau ini.
Dalam ucaptamanya, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching menekankan tiga teras utama sebagai asas pembinaan negara digital ASEAN.
Pertama, menekankan kepercayaan digital sebagai asas; dimana Malaysia komited memperkukuh tadbir urus data dan keselamatan siber melalui Akta Keselamatan Siber 2024 serta Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 serta menganjurkan kempen advokasi keselamatan internet yang dilaksanakan turut menjangkau lebih 150,000 rakyat.
Teras kedua memberi tumpuan kepada inovasi sebagai enjin ekonomi digital. Nilai ekonomi digital ASEAN kini mencecah USD300 bilion, dijangka melonjak melebihi USD1 trilion menjelang 2030.
Di Malaysia, inisiatif seperti Geran Digital PMKS Madani, program JENDELA serta peluasan rangkaian 5G telah memperkasakan komuniti dan perniagaan, begitu juga dengan liputan 5G yang kini mencapai 82.4% kawasan berpenduduk.
Manakala teras ketiga menyentuh kerjasama serantau untuk transformasi digital, yang mana Malaysia akan terus memperkukuh kerjasama dengan negara jiran, sektor swasta dan rakan antarabangsa.
Usaha ini termasuk peluasan siri GSMA M360 ke ASEAN pada 2026, selaras dengan Visi ASEAN 2045 untuk membina komuniti digital yang inklusif dan berdaya tahan.
“Sidang kemuncak ini adalah permulaan kepada bab baharu pembinaan negara digital ASEAN dipacu kepercayaan, berkembang melalui inovasi, dan maju bersama,” kata Teo dalam ucapannya.
Penganjuran edisi pertama ini turut dilihat sebagai platform penting untuk menyatukan visi digital ASEAN dalam menghadapi cabaran global serta memperkukuh daya saing rantau ini dalam ekonomi digital dunia.