Malapetaka Jika Undi BN, PH, PN

KUALA LUMPUR: Presiden Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad merayu untuk pengundi memberi peluang kepada Gerakan Tanah Air (GTA) memerintah negara ini.

Ketika berucap di program Perjuangan Demi Tanah Air di Langkawi, malam ini, Dr Mahathir mendakwa Malaysia akan menerima padahnya jika salah satu daripada gabungan politik Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) menang PRU15.

“Esok hari, tuan-tuan dan puan-puan bersama ahli keluarga dan rakan akan keluar mengundi, diharap supaya undilah parti yang bersih daripada jenayah. Takkanlah kita nak cari sebuah kerajaan yang terdiri daripada pencuri dan penjenayah. ”

“Jika kita pilih tiga parti ini, maka malapetakalah yang akan menimpa negara. Kita cuba lihat apabila BN jadi kerajaan, bagaimana daripada ‘Asian Tiger’, negara kita menjadi (sebuah negara) kleptokrasi,” katanya dalam program yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Rasmi Dr Mahathir dan PEJUANG.

Bukan itu sahaja, bekas Perdana Menteri itu juga mendakwa ketiga-tiga gabungan politik itu wajar ditolak kerana langsung tidak menunjukkan kesungguhan mendaulatkan bangsa, agama dan negara.

“Inilah rayuan saya kepada semua pengundi di seluruh negara. Tolak sama sekali tiga buah parti ini, dan beri sokongan kepada Gerakan Tanah Air (GTA) yang bertanding sebagai PEJUANG.

“Kami akan mendirikan kerajaan yang baik. Yang tidak akan terpesong dengan tamak haloba diri sendiri. Inilah perjuangan GTA dan PEJUANG. Jika diberi kuasa sebagai kerajaan, kita akan lakukan yang terbaik bagi negara tercinta ini,” katanya.

Dr Mahathir yang juga akan mempertahankan Parlimen Langkawi dalam pada itu menabur janji kononnya Pejuang akan mengotakan segala perincian manifestonya jika mendapat mandat rakyat, termasuk memperbaiki semua kerosakan yang dilakukan ketiga-tiga parti berkenaan, ketika menjadi kerajaan.

“Sama ada (kita menang) melalui kerjasama dengan pihak lain atau sendirian, kita ingin memperbaiki keburukan yang menimpa negara sejak ditadbir tiga buah parti yang tak sedikit pun sayang kepada bangsa, negara dan agama.

“Kita perlu ubah, tukar kerajaan yang ada (sekarang) supaya kerajaan yang akan didirikan akan memperbaiki semua yang dirosakkan oleh tiga buah parti yang terdahulu.

“Jangan sesekali pilih orang yang tak baik untuk jadi kerajaan kerana mereka akan hancurkan negara kita. Apabila anak muda ambil alih jadi kerajaan, mereka dapati tidak ada apa dalam negara kita.

“Kekosongan sahaja yang ada kerana semua yang telah dibangunkan, telah dimusnahkan oleh orang yang tua, yang jadi kerajaan dahulu,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles