KUALA LUMPUR: Atas permintaan ramai penggemar muzik Indonesia di Malaysia, Malam Terpaling Galau Indonesia (MGI) akhirnya bakal memeriahkan Kuala Lumpur pada 7 Mei 2023, (Ahad) bertempat di ZEPP Kuala Lumpur.
Penganjur MGI, Hashtag Media dalam kenyataan berkata, penganjuran di Kuala Lumpur kali ini selepas mendapat permintaan dan sambutan yang luar biasa susulan kejayaan MGI Johor Bharu baru-baru ini.
“Selepas Malam Galau Indonesia (MGI) 2.0, MGI 2.1, dan MGI JB mendapat sambutan yang hangat ramai pendengar muzik Indonesia di Malaysia, kali ini Hashtag Media menganjurkan lagi Malam Galau Indiensia edisi kelima, iaitu Malam Terpaling Galau Indonesia,” katanya.
Konsep MGI pastinya akan dipenuhi dengan persembahan lagu-lagu popular dari negara Indonesia yang bakal dinyanyikan oleh barisan penyanyi dan muzik tempatan yang sedang menempah nama di industri muzik Malaysia.
Bukan hanya lagu-lagu Indonesia, malah barisan penyanyi juga bakal mempersembahkan lagu mereka sendiri.
Jualan tiket bermula pada harga RM100 hingga RM180 dan boleh dibeli dilaman web malam-galauubertickets.asia
Untuk rekod, konsert MGI JB yang diadakan pada 18 Februari lalu telah mendapat sambutan luar biasa apabila hampir 4,000 orang hadir pada malam berkenaan.
Bukan itu sahaja, Hashtag Media selaku penganjur telah menempa banyak kejayaan apabila berjaya menganjurkan beberapa konsert lain antaranya Fiersa Besari, Fourtwnty, Barasuara dan Sisitipsi.
Tidak terhenti disini sahaja, individu selaku penganjur utama acara iaitu Elmielmo membuat kejutan apabila mengumumkan Malam Galau Indonesia bakal ke Utara Tanah Air selepas ini.
“Buat peminat muzik Indonesia yang tinggal di luar Kuala Lumpur, bersedia untuk galau bersama-sama kerana, “Malam Galau Indonesia akan ke Utara Tanah Air selepas ini,” ujar Elmielmo.