Makin Ramai ‘Pulang’ Kepada UMNO Menjelang PRU15

KUALA LUMPUR: Melihat kepada prestasi mutakhir UMNO dalam beberapa siri pilihan raya kecil, beberapa penganalisis menjangkakan lebih ramai ahli politik yang menukar haluan daripada parti itu kembali ke pangkuan UMNO.

Apatah lagi dengan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Memetik FMT, Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata, kebanyakan ahli politik yang kembali ke pangkuan UMNO itu datangnya daripada Bersatu dan Warisan, yang menurutnya, diwujudkan bagi mencapai tujuan golongan yang “mengambil pendirian anti-Umno”.

Apatah lagi kedua-dua parti serpihak UMNO itu jelas tiada wawasan jangka panjang yang jelas, malah masih bergelut untuk meraih sokongan akar umbi.

Fauzi berkata, keinginan untuk mewujudkan kestabilan selepas wabak Covid-19 akan mengetepikan sebarang keraguan orang ramai untuk mengundi kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan UMNO.

“Ahli Parlimen yang kembali ini tidak begitu naif sehingga tidak mampu menilai sentimen rakyat,” katanya selain menambah bahawa pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor adalah petunjuk awal keadaan yang mungkin berlaku di peringkat persekutuan kelak.

BN memenangi 21 daripada 28 kerusi dalam PRN Melaka dan 40 daripada 56 kerusi dalam PRN Johor.

“Tindakan mereka tidak semestinya berpunca secara langsung daripada keputusan PRN, namun PRN itu pasti menyingkirkan sebarang kesangsian mereka untuk menyertai UMNO semula,” kata Fauzi.

Pendapat yang sama turut dinyatakan Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, kemenangan yang dikecapi UMNO kebelakangan ini mempengaruhi ahli politik untuk meninggalkan parti masing-masing dan kembali ke pangkuan UMNO.

Menurutnya, tidak mengejutkan apabila ahli politik dari parti lain memilih UMNO yang sudah lama bertapak, termasuk di Sabah.

BBerkaitan

Latest articles