Makanan Malaysia Diletak Pada Kedudukan Ke-39 Paling Sedap Di Dunia

Tidak sampai tiga bulan dipuji habis kalangan warganet tempatan kerana menamakan roti canai sebagai makanan jalanan terbaik dunia, kini situasi berbeza pula.

Ramai netizen negara ini meluahkan kemarahan ke atas Taste Atlas susulan laporan portal asing itu yang meletakkan makanan Malaysia di tempat ke-39 paling sedap di dunia.

Lebih mencetuskan kehairanan mereka apabila hidangan Itali boleh pula dinobatkan sebagai konon tersedap di peringkat antarabangsa diikuti jirannya, Greece dan Sepanyol.

Paling lucu, kebanyakan makanan melibatkan negara-negara maju yang berada dalam kelompok 30 teratas itu dianggap tidak sedap tetapi boleh ‘memintas’ Malaysia.

Hanya tiga negara dari benua Asia yang berjaya disenaraikan dalam ‘Top-10’ iaitu Jepun di posisi keempat, disusuli India di tangga kelima dan Turkiye pula cuma tempat ketujuh.

Di peringkat rantau Asia Tenggara, portal yang berpangkalan di Bulgaria itu menamakan Indonesia paling atas iaitu ke-16, Vietnam (ke-20), Filipina (ke-23) dan Thailand (ke-30).

Apa yang menimbulkan persoalan, Malaysia dianggap syurga makanan global, boleh diatasi pula oleh Denmark (ke-35), Afrika Selatan (ke-36), Syria (ke-37) dan Bosnia (ke-38).

Perkara pelik dan tidak masuk akal itu turut dikritik ramai warga asing khasnya pelancong pernah bercuti atau ekspatriat yang ada bekerja di Malaysia sebagai isu cukup kelakar.

Keadaan ini menyaksikan akaun sosial Twitter rasmi Taste Atlas ‘dihujani’ komen berang warganet termasuk Malaysia yang menyifatkan indeks itu sebagai ada agenda tersirat.

Bagaimanapun, pentadbir portal tersebut dalam jawapan balas mempertahankan senarai berkenaan dengan mendakwa ia berdasarkan pangkalan data lebih 15,000 makanan.

Pengguna yang melayari laman rasmi firma itu akan memberikan penarafan jujur tanpa ada prasangka dan mereka juga tidak dibayar pun mana-mana pihak bagi mengundi.

Bahkan keputusan diterbitkan akhir tahun itu memang tidak disenangi banyak kedutaan dari negara tertentu tetapi Taste Atlas berkata, tugas mereka cuma mengira undi sahaja.

Berdasarkan semakan ulasan pengguna yang mengundi Malaysia, ramai menamakan roti canai sebagai makanan paling sedap diikuti karipap, sate, roti pisang dan nasi lemak.

Turut disenaraikan ialah 98 sajian lagi termasuk minuman antaranya laksa, apam balik, nasi kandar, mi kolok, laksam, nasi dagang, sirap bandung, teh tarik dan kopi putih Ipoh.

Secara keseluruhan, tahap kesedapan makanan Malaysia telah memperoleh 3.99 bintang sahaja iaitu sama banyak dengan penarafan diraih hidangan dari Lubnan dan Bosnia.

BBerkaitan

Latest articles