Majlis Presiden PH Tak Bincang Isu Penyertaan MUDA

KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan pihaknya masih belum membimbangkan Isu ntpenyertaan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) ke dalam gagasan itu, walaupun pimpinan parti baharu itu kerap menyertai program anjuran PH.

Malah soal itu tidak pernah disentuh dalam mesyuarat Majlis Presiden PH, setakat ini.

Namun dalam masa yang sama, Anwar memaklumkan, kerjasama dan perbincangan antara PH dengan parti pimpinan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu berjalan baik ketika ini.

“PH belum membincangkan hal ini, perkara ini tidak berbangkit. Soal kerjasama dan perbincangan tiada masalah, ia berjalan baik dalam kalangan pembangkang.

“Tapi untuk penyertaan (MUDA) dalam PH, belum dibincangkan Majlis Presiden PH,” katanya ketika ditemui selepas Simposium Perubahan Iklim 2022 anjuran Pejabat Ketua Pembangkang di Parlimen.

Terdahulu Anwar ditanya sama ada pembabitan pemimpin MUDA dalam beberapa program anjuran PH, memberi isyarat bahawa parti itu akan bergabung dengan PH.

Ditanya kemungkinan PH bekerjasama dengan Gerakan Tanah Air (GTA) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, Anwar memberi bayangan ia sukar berlaku kerana kedua-dua parti memiliki prinsip berbeza.

“Kita lebih menekankan soal pengurusan kerajaan negara yang baik, menolak rasuah, mempertahankan prinsip Perlembagaan, kedudukan bahasa, agama, raja-raja dan hak keistimewaan tapi tidak berasaskan kaum seperti diutarakan (GTA),” katanya.

Beliau turut dilihat sinis dalam jawapannya apabila mengatakan ‘isu memerangi rasuah turut dibicarakan oleh perasuah besar’.

“Kita selalu menekankan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa tindakan harus lebih telus kerana orang yang bicara soal rasuah ini pelbagai ragam, termasuk perasuah besar.

“SPRM patut lebih tegas dalam menunjukkan tindakan mereka itu tidak hanya pada pimpinan satu parti, tetapi pimpinan semua parti yang terpalit dengan kes rasuah besar,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles