Majlis Angkat Sumpah MB NS Berlangsung Esok

KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun memaklumkan majlis mengangkat sumpah Menteri Besar bagi penggal baharu akan berlangsung di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah pukul 3 petang esok.

Terdahulu, beliau memberitahu telah menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bagi menerangkan situasi yang berlaku selepas pilihan raya negeri (PRN) semalam.

Sementara itu, Aminuddin berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan PKR dalam menentukan calon Menteri Besar.

Namun Aminuddin menegaskan PH masih sebulat suara mencadangkan nama beliau sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dan pendirian itu tidak berubah.

“Kita berharap dapat diselesaikan segera seperti titah Tuanku (Tunku Muhriz) dalam masa sehari dua ini,” katanya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu menambah, perbincangan lanjut akan diadakan antara PH dan Barisan Nasional (BN) mengenai pengisian jawatan exco kerajaan negeri.

“Kita akan pastikan ia betul-betul mewakili semua parti,” jelasnya.

Aminuddin yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat turut menasihatkan semua ahli dan penyokong PH dan BN agar dapat bersabar sehingga Kerajaan Perpaduan dibentuk di negeri ini.

Beliau juga menyifatkan prestasi PH dan BN pada PRN Negeri Sembilan agak baik walaupun tidak mencapai sasaran memenangi kesemua 36 kerusi.

“Ada kawasan yang kita lihat ramai pengundi tentera di Gemas dan Bagan Pinang, itu antara faktor juga,” katanya.

Aminuddin berkata, PH dan BN juga gagal mempertahankan penguasaan di kawasan Felda serta pinggir bandar yang sebelum ini dikenali sebagai kubu kuat mereka.

“Ini menjadi amaran kepada kita bagaimana untuk kita mengenal pasti punca kekalahan tersebut,” jelasnya.

BBerkaitan

Latest articles