Majlis Agama Islam Pulau Pinang Keluar Larangan Kazim Elias Beri Ceramah Agama

KUALA LUMPUR: Pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias mengesahkan beliau telah menerima arahan tidak dibenarkan lagi memberi kuliah agama di Pulau Pinang.

Terdahulu tular ucapan beliau dipercayai dirakam jemaah di Masjid Al-Ittifaq Sungai Nibong Kecil di negeri itu malam tadi menerusi video berdurasi 3.08 saat.

Menerusi video berkenaan, Mohd Kazim berkata, sebagai rakyat Malaysia yang patuh kepada arahan, beliau menerima keputusan berkenaan.

“Kuliah ditangguhkan sebab saya tidak dibenarkan menyampai kuliah, jadi saya ambil keputusan bagi tidak lagi mengajar di Pulau Pinang bermula hari ini (semalam).

“Ini adalah pertemuan terakhir dengan tuan-tuan jadi saya datang ke sini bukan untuk beri kuliah tetapi nak sampaikan ucapan terima kasih kepada pihak masjid kerana sudi menjemput saya menyampaikan kuliah.

“Begitu juga kepada semua (pengurusan) masjid dan surau yang jemput saya selama 33 tahun menyampaikan ceramah di Pulau Pinang sehinggalah pada bulan empat (April) lalu.

“Jadi, semua program bermula malam ini sehingga bila-bila, saya tidak lagi terima sebarang jemputan di Pulau Pinang kerana mematuhi arahan ini,” katanya menerusi video berkenaan semalam.

Ucapan Ustaz Kazim Elias dipercayai dirakam jemaah di Masjid Al-Ittifaq Sungai Nibong Kecil di Pulau Pinang malam tadi menerusi video dan turut tular di media sosial sejak pagi ini.

Mohd Kazim turut mengucapkan terima kasih kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan Pejabat Mufti Pulau Pinang atas kerjasama sebelum ini.

“Insya-Allah, mungkin kita dapat ikuti kuliah lagi dalam platform yang lain,” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles