Majikan Tanggung Kos Vaksin COVID-19 Pekerja – M Saravanan

Majikan diwajibkan membiayai semua kos suntikan vaksin kepada pekerja masing-masing termasuk ujian pengesanan COVID-19.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, ketika mengumumkan perkara itu berkata ia selaras Seksyen 24J(f) Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Katanya, kewajipan itu dibuat susulan arahan kerajaan berdasarkan Seksyen 11 Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Akta berkenaan menetapkan semua pekerja asing perlu menjalani ujian saringan COVID-19, dengan majikan menanggung fi, kos dan caj bagi ujian itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, semalam dilaporkan berkata, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) akan mengemukakan beberapa syor kepada Kabinet, termasuk vaksinasi percuma kepada pekerja asing di Malaysia.

Langkah itu diambil bagi membendung sebarang risiko kegagalan memberi vaksin kepada pekerja asing yang hanya akan meningkatkan risiko kepada rakyat tempatan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada 27 November, tahun lalu dilaporkan berkata pelaksanaan ujian COVID-19 terhadap pekerja asing dijalankan secara berperingkat dan bersasar di Selangor, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah serta Labuan, bermula 1 Disember 2020.

Berdasarkan pendekatan itu, majikan dikehendaki mengatur temu janji dengan kemudahan kesihatan swasta bagi ujian COVID-19, menggunakan kaedah RTK Antigen.

Berkuat kuasa 1 Januari, Kementerian Sumber Manusia (KSM) turut mewajibkan semua pekerja asing untuk menjalani saringan COVID-19, selari usaha membendung penularan wabak dalam golongan berkenaan.

Berdasarkan statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) setakat 27 Disember, tahun lalu, seramai 68,460 pekerja asing merangkumi pelbagai sektor di negara ini sudah melakukan saringan menggunakan RTK Antigen.

Selain itu, perangkaan semasa menunjukkan sebanyak 273,000 daripada sejuta kit RTK Antigen yang diagihkan kepada hospital dan klinik yang bernaung dengan PERKESO sudah digunakan.

Kit pengesanan pantas menggunakan sampel titisan darah bagi tujuan saringan dalam kalangan pekerja asing itu diberikan secara percuma, namun majikan dikehendaki melakukan temu janji awal.

Langkah mewajibkan pekerja asing untuk melakukan saringan itu bagaimanapun menimbulkan persoalan, sama ada ia berkesan bagi menangani penularan jangkitan dalam kalangan pendatang tanpa izin (PATI) yang diambil bekerja di sektor tertentu di Malaysia.

Mulai 11 Januari ini, Saravanan berkata, Pasukan Petugas Program Saringan Kesihatan COVID-19, merangkumi keanggotaan tiga agensi akan melaksanakan operasi khas ke tempat majikan yang menggaji pekerja asing.

Tiga agensi berkenaan ialah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

“Operasi ini bertujuan untuk meningkatkan tahap kesedaran majikan dalam membendung dan mencegah penyebaran penyakit berjangkit,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles