SERDANG: Seorang pembantu rumah warga Indonesia berdepan penderitaan ngeri apabila didakwa diseksa majikannya termasuk dipaksa menelan air panas dalam kejadian di sebuah rumah di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, kejadian terbongkar selepas seorang lelaki berusia 37 tahun menerima mesej mencurigakan daripada adiknya melalui aplikasi WhatsApp yang memaklumkan sesuatu buruk berlaku di rumah mereka.
“Apabila dihubungi, adiknya mendedahkan bahawa pembantu rumah mereka telah didera oleh ibu mereka sendiri dengan memasukkan air panas ke dalam mulut mangsa hanya kerana isu kecil melibatkan penggunaan kicap,” katanya dalam kenyataan.
Siasatan lanjut mendapati mangsa berusia 47 tahun itu bukan sahaja diseksa secara kejam dalam insiden terbaharu, malah pernah menjadi mangsa penderaan fizikal sebelum ini.
“Antara penderaan lain termasuk dipicit payudara hingga luka dan bernanah, disiram air panas pada kaki serta ditendang hingga giginya patah,” ujar Muhamad Farid.
Bertindak atas maklumat, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang menahan suspek wanita berusia 59 tahun pada jam 1 pagi Isnin, selain menyelamatkan mangsa.
Suami suspek yang juga berusia 59 tahun turut ditahan pada keesokan harinya bagi membantu siasatan.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 serta Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau objek berbahaya.
Kedua-dua suspek kini berdepan pertuduhan di Mahkamah Sesyen Klang di bawah Seksyen 13(a) Akta Atipsom 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana memperdagangkan orang melalui ancaman.
“Mereka mengaku tidak bersalah dan mahkamah membenarkan jaminan RM20,000 setiap seorang dengan seorang penjamin serta pasport diserahkan kepada mahkamah,” katanya.
Pihak polis turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Serdang di talian 03-8074 2222 atau balai polis berhampiran.










