SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyatakan pendirian tegas menentang sebarang bentuk aktiviti yang bertujuan mempromosi, menyokong atau menormalisasikan gaya hidup songsang termasuk lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negeri Selangor.
Pengerusinya, Datuk Salehuddin Saidin berkata, umat Islam diingatkan agar tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam sebarang program, kempen atau aktiviti yang boleh dikaitkan dengan usaha menormalisasikan gaya hidup berkenaan.
Menurut beliau, perkara itu bukan sahaja bertentangan dengan ajaran Islam, malah bercanggah dengan undang-undang, nilai budaya timur serta norma masyarakat di negara ini.
“MAIS menyeru masyarakat Islam supaya terus berpegang teguh kepada ajaran agama dan tidak mudah terpengaruh dengan agenda normalisasi LGBT yang boleh menjejaskan moral serta akhlak umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa sama, beliau menasihatkan individu yang terlibat dengan gaya hidup tersebut supaya kembali kepada fitrah dengan menyertai program pemulihan yang disediakan oleh MAIS, pihak berkuasa agama atau pertubuhan bukan kerajaan yang berkaitan.
Kenyataan itu dibuat susulan desakan pelbagai pihak agar Kerajaan Negeri Selangor dan agensi berkaitan menyiasat penganjuran program “Glamping With Pride” yang dijadual berlangsung di Hulu Langat minggu depan.
Salehuddin berkata, MAIS akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dan agensi kerajaan bagi membendung sebarang usaha penyebaran pengaruh gaya hidup songsang yang boleh merosakkan masyarakat.
Beliau turut menegaskan, MAIS bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan agensi lain akan memperkukuh pendidikan akhlak, aktiviti dakwah serta nilai-nilai Islam, di samping menambah baik program pemulihan sebagai usaha berterusan memastikan budaya songsang tidak berakar dalam kalangan masyarakat Islam di Selangor.










