“Main Dua Kolam” – Wan Fayhsal Dakwa Radzi Pilih Jalan Salah

KUALA LUMPUR: Kemelut dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terus memanas apabila bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, secara terbuka mempersoalkan pendirian Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dalam polemik yang sedang melanda parti itu.

Ahli Parlimen Machang itu mendakwa Radzi yang kini menjalankan tugas Timbalan Presiden Bersatu sebenarnya mengetahui punca sebenar pergolakan dalam Perikatan Nasional (PN), termasuk isu penolakan oleh Pas terhadap beberapa nama yang dikemukakan untuk jawatan strategik tanpa rundingan.

Namun menurutnya, Radzi seolah-olah “memekakkan telinga” apabila tiba masa membuat keputusan.

Wan Fayhsal turut menyindir tindakan Radzi yang didakwa cuba “bermain di semua kolam” sejak pemilihan parti, kononnya strategi untuk menyaingi tokoh tertentu dari dalam.

“Namun dalam politik, siapa yang cuba memegang dua tali biasanya yang pertama tergelincir apabila tali ditarik,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Beliau juga membangkitkan persoalan sama ada Radzi lupa sokongan yang pernah diterima daripada pemimpin tertentu ketika memenangi jawatan Naib Presiden, selain mendakwa wujud bukti mengenai “Kuda Trojan” dalam Bersatu dan PN yang turut diketahui Radzi.

“Dalam kalangan ahli Parlimen, Radzi memiliki akses paling luas kepada semua pimpinan — baik Pagoh mahupun Larut.
“Tetapi apabila tiba masa membezakan antara yang hak dan yang batil, beliau tersalah congak,” katanya.

Namun, pilihan yang dibuat Radzi kini didakwa memihak kepada kelompok yang boleh merugikan agenda parti.

Dalam nada tegas, Wan Fayhsal mempersoalkan mengapa sehingga 19 ahli Parlimen sanggup menyokong gerakan “Reset” yang digerakkan kepimpinan tertentu jika tiada asas kukuh di sebaliknya.

Malah, beliau turut mengaitkan pertemuan Radzi dengan Presiden Pas baru-baru ini dengan dakwaan usaha menukar Ketua Pembangkang.

“Politik gaya begini ibarat api dalam sekam – kelihatan tenang, tetapi membakar dari dalam,” katanya, memberi bayangan bahawa krisis dalaman Bersatu masih jauh daripada reda.

BBerkaitan

Latest articles