Mahukah PAS Beri Laluan Kepada Tun M Di PRK Parlimen Kemaman?

KUALA LUMPUR: Sumber rapat kepada Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan pihaknya dan PAS mengadakan perbincangan untuk mencalonkan bekas Perdana Menteri itu bagi PRK Parlimen Kemaman, akan datang.

Memetik laporan FMT, sekiranya Dr Mahathir menang di kerusi berkenaan, beliau mampu membawa isu negeri dengan lebih baik, apatah lagi Dr Mahathir telah dilantik sebagai penasihat tidak rasmi kepada empat kerajaan negeri pimpinan PAS baru-baru ini.

Sumber juga menyebut Dr Mahathir mampu memainkan peranan “semak dan imbang yang lebih berkesan terhadap kerajaan perpaduan”.

“Rundingan telah dimulakan dengan pemimpin PAS mengenai pencalonannya.

“Mahathir mempunyai pengaruh besar dalam kalangan pengundi Melayu dan pemimpin akar umbi. Jika menang, dia akan menjadi Ahli Parlimen tertua yang akan dipilih. (Mahathir berusia 98.)

“Paling penting mereka mahu meletakkan Dr M di Parlimen bagi mewakili kepentingan empat kerajaan negeri. Tidak ada gunanya bercakap di luar dewan,” kata sumber itu.

Parlimen Kemaman adalah kubu kuat PAS, malah sumber yakin Dr Mahathir mampu menang besar di kerusi berkenaan, malah akan menguntungkan parti Islam itu.

Pada PRU15 November lalu, Che Alias Hamid dari PAS memenangi kerusi itu dengan majoriti 27,179 undi dalam pertembungan empat penjuru.

Bagaimanapun, mahkamah pilihan raya Kuala Terengganu membatalkan kemenangan itu bulan lepas selepas mendapati pembayaran bantuan i-Belia dan i-Siswa kepada pengundi semasa tempoh berkempen adalah rasuah.

Semalam, PAS berkata ia tidak akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu, membuka jalan untuk satu lagi PRK parlimen di negeri itu selepas PRK Kuala Terengganu diadakan pada 12 Ogos.

BBerkaitan

Latest articles