KUALA LUMPUR: Percubaan ibu bapa Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin untuk membatalkan pertuduhan terhadap mereka berhubung kes pengabaian anak autistik berusia enam tahun itu, gagal selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menolak permohonan mereka.
Keputusan dibuat Hakim Roszianayati Ahmad dengan berkata pertuduhan yang dihadapi Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan Ismanira Abdul Manaf, 30, tidak cacat serta memenuhi elemen di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Pasangan itu sebelum ini memohon untuk dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan yang dikenakan ke atas mereka pada 13 Jun tahun lalu serta meminta penangguhan prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.
Dalam afidavit sokongan yang difailkan, mereka mendakwa pertuduhan terhadap mereka tidak menjelaskan kesalahan yang dilakukan serta tidak memberi butiran yang membolehkan mereka menyediakan pembelaan yang wajar.
“Kami tidak menemui sebarang butiran mengenai kesalahan yang didakwa dalam pertuduhan. Kami tidak tahu bagaimana untuk mempertahankan diri dan tidak dapat memberi arahan kepada peguam bela,” menurut afidavit yang dilihat media.
Mereka juga berpendapat pertuduhan tersebut tidak mematuhi Seksyen 153 dan 154 Kanun Tatacara Jenayah serta melanggar hak perlembagaan mereka untuk mendapatkan perbicaraan adil seperti dijamin di bawah Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.
Pada 13 Jun lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas satu pertuduhan mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya.
Kejadian didakwa berlaku di sekitar Jalan PJU Damansara Damai antara jam 12 tengah hari 5 Disember hingga 9.55 malam 6 Disember 2023.
Mayat Zayn Rayyan ditemui dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.