Mahkamah Tolak Permohonan Semakan, Paul Yong Kekal Dipenjara

PUTRAJAYA: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong, gagal dalam usahanya untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan serta hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan terhadapnya atas kesalahan merogol pembantu rumah.

Keputusan itu dibuat sebulat suara oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah, selepas menolak permohonan Paul untuk mendapatkan kebenaran menyemak keputusan terdahulu.

Turut bersidang ialah Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequarah.

Dengan keputusan berkenaan, Paul kekal menjalani hukuman penjara.

Dalam prosiding hari ini, Paul diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, manakala pihak pendakwaan dikendalikan oleh Datuk Yusaini Amer Abdul Karim.

Paul memfailkan notis usul di bawah Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Persekutuan yang sebelum ini menolak rayuan terakhirnya.

Sebelum ini, pada 1 Oktober tahun lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan terhadap Paul selepas panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara ketika itu, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh, menolak rayuan akhirnya.

Panel tersebut turut mengekalkan keputusan majoriti Mahkamah Rayuan pada 1 Mac 2024 yang mengekalkan sabitan bersalah tetapi mengurangkan hukuman penjara daripada 13 tahun kepada lapan tahun.

Dalam penghakiman terdahulu, mahkamah memutuskan bahawa sabitan terhadap Paul adalah selamat dan hukuman yang dijatuhkan bersesuaian dengan kesalahan dilakukan.

Mahkamah turut berpuas hati bahawa kejadian rogol berlaku tanpa persetujuan mangsa dan dibuktikan melangkaui keraguan munasabah, walaupun ketiadaan bukti DNA tertuduh pada mop yang digunakan untuk mengemop air mani di bilik kejadian.

Kes ini bermula apabila Mahkamah Tinggi Ipoh pada 27 Julai 2022 mensabitkan Paul atas kesalahan merogol pembantu rumahnya, seorang wanita warga Indonesia berusia 23 tahun, di sebuah bilik di kediamannya di Ipoh pada 7 Julai 2019.

Perbicaraan kes yang bermula pada 5 April 2021 itu melibatkan keterangan 23 saksi pendakwaan termasuk dua saksi terlindung.

BBerkaitan

Latest articles