KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menolak permohonan peguam Mahajoth Singh, yang mewakili ahli perniagaan Albert Tei, untuk mencabar notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengarahkannya hadir sesi pemeriksaan serta mengemukakan dokumen berkaitan siasatan.
Hakim Datuk Alice Loke Yee Ching memutuskan bahawa tindakan SPRM yang berkait dengan fungsi penyiasatan tidak boleh dipertikai melalui prosiding semakan kehakiman, sekali gus menolak permohonan kebenaran yang difailkan peguam tersebut.
Menurut beliau, hujahan Mahajoth yang menyatakan penzahiran maklumat oleh peguam hanya boleh dibuat melalui perintah Mahkamah Tinggi di bawah Seksyen 46(1) Akta SPRM adalah satu tafsiran yang tersasar.
“Seksyen itu terpakai dalam keadaan tertentu sahaja dan perlu dibaca secara menyeluruh bersama peruntukan lain,” kata hakim berkenaan.
Mahkamah turut mengambil kira keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes terdahulu yang memutuskan bahawa tindakan pihak berkuasa semasa menjalankan siasatan tidak wajar dicabar di mahkamah.
Hakim Alice juga berpuas hati bahawa Mahajoth gagal membuktikan wujud niat jahat atau penyalahgunaan kuasa oleh SPRM dalam pengeluaran notis berkenaan, selain mendapati tiada pelanggaran undang-undang berlaku.
Sehubungan itu, permohonan Badan Peguam Malaysia untuk campur tangan sebagai pencelah dalam kes berkenaan turut ditolak.
Mahkamah sebelum ini mendengar hujahan pada 6 Januari lalu oleh peguam N. Surendran yang mewakili Mahajoth, manakala SPRM diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan.
Mahajoth memfailkan semakan kehakiman pada 9 Disember tahun lalu bagi membatalkan tiga notis SPRM yang dikeluarkan pada 29 dan 30 November, yang mengarahkannya hadir untuk pemeriksaan serta menyerahkan dokumen di bawah Seksyen 30(1)(a) dan 30(1)(b) Akta SPRM.
Antara dokumen yang diminta termasuk telefon bimbit Albert Tei, dokumen pembelian perabot, pakaian dan kamera, selain salinan perbualan WhatsApp antara anak guamnya dengan beberapa individu.
Surendran berhujah bahawa anak guamnya berada dalam dilema kerana pematuhan kepada notis SPRM boleh menyebabkan pelanggaran hak keistimewaan peguam-anak guam di bawah Akta Keterangan, manakala kegagalan mematuhi arahan pula berisiko dikenakan tindakan.
Bagaimanapun, Shamsul menegaskan bahawa perintah untuk memeriksa saksi dan mengemukakan dokumen dalam siasatan jenayah tidak tertakluk kepada semakan kehakiman.
Dalam afidavitnya, Mahajoth mendakwa maklumat yang diminta merupakan komunikasi terlindung di bawah Seksyen 126 Akta Keterangan dan Seksyen 46 Akta SPRM, serta mendakwa SPRM menyalahgunakan kuasa kerana gagal mendapatkan perintah mahkamah sebelum mengeluarkan notis.
Namun, mahkamah memutuskan perlindungan tersebut tidak boleh digunakan untuk menghalang proses siasatan pihak berkuasa yang sah di sisi undang-undang.










